NADIA (dua dari kanan) bersama keluarganya.
NADIA (dua dari kanan) bersama keluarganya.

Kuala Lumpur: "Anak saya trauma dan selalu menyatakan dia sudah cacat, menyendiri di dalam bilik dan tidak mahu berjumpa dengan sesiapa saja walaupun sepupunya."

Demikian luah Azman Shah Mohammad, 44, bapa kepada remaja, Nadia Fasha Qistina, 20, yang mengalami kecederaan parah selepas disimbah asid ketika pulang dari kerja di Denai Alam pada 8 November tahun lalu.

Azman Shah berkata, selepas kejadian itu, anaknya mengalami perubahan emosi dan sikap yang begitu ketara selain sering menyatakan bahawa dia sudah cacat.

"Anak saya suka melihat dirinya di cermin, sambil itu dia akan cakap dia sudah cacat, tidak seperti dulu dan enggan berjumpa dengan ahli keluarga yang lain termasuk bapa saudara atau sepupunya.

"Pada hari raya lalu (Aidiladha), dia enggan berjumpa dan menyendiri di dalam bilik biarpun saya sudah cuba untuk memujuknya, tetapi mungkin ini memerlukan masa yang lama untuk dia kembali seperti sebelum insiden terbabit.

"Pada masa sama, isteri saya pula disahkan mengalami serangan panik sehingga dirujuk kepada pakar psikiatri kerana menjaga anak kami dan mungkin terlalu risau dengan dia (Nadia Fasha Qistina)," katanya.

Sehubungan itu, mereka yang ingin membantu kewangan keluarga ini untuk kos rawatan anaknya boleh menyalurkan sumbangan di akaun bank CIMB 7026639538 atas nama Azman Shah.

Mengulas berhubung kecederaan yang dialami anaknya, dia berkata, Nadia Fasha Qistina menghadapi tahap empat kecederaan akibat simbahan asid.

Sehingga kini, menurutnya, anaknya itu sudah melalui 11 kali pembedahan dan akan menjalani pembedahan kali ke-12 tidak lama lagi untuk memulihkan kulitnya.

"Antara bahagian yang teruk adalah di bawah mata dan bahagian mulut, doktor hanya menyatakan pembedahan itu dilakukan untuk membetulkan semula kulit di permukaan terjejas itu.

"Kos bulanan yang terpaksa ditanggung adalah sekitar RM5,000 hingga RM6,000 sebulan khusus untuk rawatan seperti krim khas dan sebagainya.

"Untuk kos pembedahan, tidak banyak, kerana kami menjalani pembedahan di hospital kerajaan, kos yang tinggi terpaksa ditanggung adalah rawatan penjagaan kulit yang begitu mahal," katanya.

Azman Shah berkata, kisahnya itu pernah tular tahun lalu dan daripada insiden berkenaan, dia berjaya mengumpul dana awam sekitar RM80,000.

Menurutnya, kos rawatan keseluruhan pula adalah menghampiri RM200,000 dan terpaksa menjual kereta dan segalanya semata-mata untuk menanggung kos rawatan kulit anaknya.

'Asid rosakkan kulit, fungsi organ dalaman mangsa'

Penggunaan asid untuk mencederakan orang adalah tindakan berbahaya kerana bahan kimia itu bersifat menghakis kulit dan boleh merosakkan organ penting.

Pakar Kulit dan Estetik Mejar (B) Dr Hamidah Mohd Salleh berkata, asid akan mencairkan bahagian kulit, lemak dan otot yang seterusnya menjadi bahan mioglobin.

"Bahan ini kemudiannya meresap ke buah pinggang dan menjadi tersumbat yang mengakibatkan kegagalan fungsi organ berkenaan.

"Selain itu, asid turut menyebabkan ketidakseimbangan asid dalam badan. Ia turut menjejaskan fungsi jantung mengakibatkan degupan jantung tidak sekata atau berlaku serangan jantung,"katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, tempoh masa asid memberi kesan kepada mangsa adalah bergantung kepada kepekatan bahan kimia yang digunakan itu.

"Jika asid digunakan untuk menyimbah mangsa itu pekat, ia akan memberikan kesan serta-merta pada waktu kejadian.

"Sebaliknya bagi penggunaan asid yang cair, ia mengambil sedikit masa tetapi kesannya tetap sama,"katanya.

Dr Hamidah berkata, cara rawatan awal terkena bahan kimia itu ialah membersihkan asid pada kulit di bawah aliran air selama 20 minit bagi mengurangkan kesannya.

"Kes simbah asid memang banyak terutama membabitkan dendam termasuk penggunaan asid sulfurik, simbah asid pada diri sendiri untuk menarik perhatian selepas putus cinta.

"Ada juga kes terkena asid secara tidak sengaja kerana kemalangan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 8:00 AM