FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Kesejahteraan yang mesti dicapai dalam kehidupan haruslah merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi bukan semata-mata berteraskan fizikal dan kebendaan. Manakala asas kejayaan yang sebenar adalah berlandaskan konsep al-falah iaitu meliputi ciri-ciri yang digariskan dalam al-Quran sebagaimana firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 1-11 yang bermaksud "Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan serta perkataan sia-sia, mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu) dan mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, merekalah orang yang melampaui batas dan mereka yang menjaga amanah serta janjinya dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya mereka itulah orang yang berhak mewarisi - yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya."

Maksud kesejahteraan dan kejayaan tersebut seiring dengan tema sambutan Ma'al Hijrah pada tahun ini iaitu 'Al-Falah Pemacu Malaysia Madani.' Salah satu lafaz azan ialah kalimah yang bermaksud 'marilah menuju kejayaan (al-falah).' Sebahagian ulama menjelaskan bahawa laungan azan disyariatkan pada tahun pertama hijrah berdasarkan hadis daripada Ibn Umar RA dalam suatu peristiwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Bilal, berdirilah dan serukan solat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Seruan untuk mengecapi kejayaan amat penting sehingga menjadi sebahagian daripada kalimah dalam lafaz azan. Kejayaan sebenar hanya dapat digapai apabila setiap manusia menjadikan Allah SWT sebagai keutamaan melalui kesempurnaan akidah, ibadah dan akhlak.

Ajaran Islam menggesa umat manusia agar mencari kebahagiaan hidup bukan semata-mata di dunia, tetapi merentasi alam akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 201 yang bermaksud: "Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: 'Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka." Bagi menjamin keselamatan di akhirat, kehidupan insan haruslah berpaksikan iman dan akidah yang sahih. Justeru peristiwa hijrah sebenarnya menggambarkan perjuangan baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat untuk mempertahankan akidah. Al-Quran menyifatkan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai suatu kemenangan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 40 yang bermaksud "Kalau kamu tidak menolong (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya. "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkan dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama- lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menggandingkan kepentingan memelihara hubungan sesama insan dan keutamaan berhijrah meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat. Daripada 'Abdullah bin 'Amr RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT." Dalam kehidupan bermasyarakat, seorang muslim hendaklah menjauhkan diri daripada perbuatan yang menggugat keamanan, mengganggu, menyakiti, serta merampas harta dan nyawa orang lain. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya darah dan harta kalian, haram bagi sesama kalian. Sebagaimana haramnya hari ini, haramnya bulan ini di negeri kalian ini…" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Muslim yang sebenar menjauhi segala tindakan yang menjejaskan keharmonian serta menjauhi persengketaan yang memecahbelahkan. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah Ali 'Imran ayat 103 bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya."

Di dalam peristiwa hijrah, golongan ansar di Madinah telah menunjukkan sifat yang baik dengan mengutamakan saudara mereka daripada golongan muhajirin lebih daripada diri mereka sendiri sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 9 bermaksud: "Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."

Resipi kesejahteraan dan keharmonian seperti dinyatakan dalam salah satu prinsip gagasan Malaysia Madani iaitu hormat wajar dihayati dan diterapkan oleh semua lapisan masyarakat agar maruah serta martabat insan dapat dikembalikan. Hormat atau adab yang membawa maksud budi bahasa, kesopanan dan ketawadukan dilihat bukan semata-sama menjadi asas kepada tingkah laku, tetapi juga sebagai teras utama kepada sebuah peradaban bangsa. Hanya manusia yang memiliki sifat hormat, beradab dan berakhlak akan dianugerahkan kejayaan sebenar atau al-falah dalam kehidupan di dunia dan akhirat seperti yang digariskan oleh syariat Islam.

Peristiwa Maal Hijrah yang diraikan saban tahun perlu dijadikan detik penting untuk sentiasa memperbaiki diri agar menjadi muslim yang patuh kepada perintah Allah SWT dan menjadi khalifah yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan."

Umat Islam harus berusaha memerangi hawa nafsu yang cenderung menyeru ke arah perbuatan jahat dan menyeleweng daripada landasan syariat. Tanamkanlah azam untuk bersungguh-sungguh mengamalkan perintah Allah seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Hijrah daripada perbuatan yang tidak diredai Allah kepada suatu amalan yang dikehendaki-Nya adalah termasuk dalam tuntutan hijrah yang sebenar sekaligus menepati maksud kesejahteraan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 7:02 AM