KERETA kebal Israel di kawasan yang bersempadan dengan Gaza. FOTO Reuters
KERETA kebal Israel di kawasan yang bersempadan dengan Gaza. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Pegawai Israel, pada Ahad berkata, mereka sedang bersiap untuk operasi ketenteraan di titik paling selatan Gaza di Rafah, selepas enam bulan 'perang panjang' yang menghancurkan bangunan di wilayah itu dan mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Israel menarik keluar pasukannya dari selatan Semenanjung Gaza pada Ahad dalam penarikan separa selepas perang yang sudah berlarutan setengah tahun.

Tetapi Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, tentera meninggalkan bandar Khan Yunis, selepas berbulan-bulan berperang, "untuk mempersiapkan misi masa depan, termasuk... di Rafah".

Pemimpin dunia menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pencerobohan ke atas bandar itu yang terletak berhampiran sempadan Mesir, di mana kebanyakan penduduk Gaza kini berlindung.

"Perang di Gaza berterusan, dan kami masih jauh dari berhenti," kata Ketua Staf tentera Israel, Herzi Halevi.

"Ini adalah perang yang panjang, dengan intensiti yang berbeza-beza."

Selepas tentera meninggalkan kawasan di dalam dan sekitar bandar Khan Yunis yang sebahagian besarnya musnah, sekumpulan penduduk Palestin berjalan ke sana, berharap untuk kembali ke rumah mereka dari tempat perlindungan sementara di Rafah, sedikit lebih jauh ke selatan.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, Israel "selangkah lagi dari kemenangan".

Pada hari ketika rundingan ke arah perjanjian gencatan senjata ditetapkan untuk disambung semula di Kaherah, Netanyahu juga menegaskan bahawa "tidak akan ada gencatan senjata tanpa pemulangan tebusan".

Khan Yunis ialah kampung halaman ketua Hamas di Gaza, Yahya Sinwar, yang dituduh Israel sebagai dalang serangan mengejut pada 7 Oktober tahun lalu.

"Divisyen komando ke-98" Israel meninggalkan bandar itu, dan Gaza, "untuk memulihkan dan bersedia untuk operasi masa depan," kata tentera kepada AFP.

Pakar keselamatan Israel, Omer Dostri meramalkan bahawa apabila lebih ramai penduduk Palestin yang meninggalkan Rafah yang padat, "dalam masa dua bulan akan ada satu langkah di Rafah untuk memusnahkan briged Hamas yang masih ada".

Penarikan balik separa itu dibuat ketika rundingan ke arah gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan dijangka disambung semula di Kaherah, membabitkan termasuk pengantara Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir.

Presiden AS, Joe Biden pada Khamis memberitahu Netanyahu bahawa beliau mahu gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan dan peningkatan penghantaran bantuan.

Selepas kematian tujuh pekerja bantuan warga asing, Biden - yang kerajaannya pembekal senjata dan penyokong politik utama Israel - juga membayangkan untuk menjadikan sokongan AS kepada Israel bersyarat untuk menyekat pembunuhan orang awam dan memperbaiki keadaan kemanusiaan.

Beberapa jam selepas komen Biden, Netanyahu berkata, Israel akan membenarkan aliran bantuan "sementara" melalui lintasan Erez dan Ashdod.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 8:17 AM