MASERATI MC20 Icona dan MC20 Leggenda.
MASERATI MC20 Icona dan MC20 Leggenda.
Lizam Ridzuan


HAMPIR 20 tahun jenama prestasi mewah Maserati tidak berada di kancah sukan permotoran dunia, kini ia kembali dan diraikan menerusi dua model edisi khas diperkenalkan baru-baru ini iaitu MC20 Icona dan MC20 Leggenda.

Ia permulaan mereka kembali ke zaman keemasan untuk jenama ini di trek menerusi model lagenda MC12 GT1 yang dihasilkkan antara 2004 dan 2010.

Ketika itu ia berjaya merangkul 27 kemenangan dalam Kejohanan FIA GT, tiga kali dalam senarai 'roll of honour' 24 Jam Spa, enam kejuaraan bersama pasukan Vitaphone Racing dan lima kejuaraan pemandu - termasuk dua Kejohanan Dunia FIA GT1 - serta dua kejuaraan pengeluar untuk Maserati.

Antara kedua model, MC20 Icona mungkin lebih dikenali kerana ia dikeluarkan pada awal 2000 dan kini dipadankan menerusi warna dwi-tona.

Ia dengan warna putih Bianco Audace matte pada bahagian atas dan Blu Stradale untuk bawah terus mengingatkan ia pada model MC12 Stradale yang pernah dikeluarkan pada masa lalu.

Perincian warna itu meliputi skim warna kontras sehingga ke roda, dengan logo trident biru dan angkup brek biru menonjol pada roda bersalut krom.

Logo Fuoriserie Maserati diletak di kedua-dua belah kereta dengan bendera Itali pada setiap pintu menyerlahkan ciri eksklusif jentera ini.

Maserati MC20 Icona juga mengembalikan semula ingatan terhadap antara model paling ikonik yang pernah ada dengan padanan warnanya sama dengan pendahulunya MC12 Stradale pada 2004.

Ia juga sebagai memberi penghormatan kepada gaya Maserati Trofeo Light dalam perlumbaan 24 Jam Daytona, yang juga kereta pertama diilhamkan Maserati Birdcage Type 61, dihasilkan antara 1959 dan 1961.

Sebagai perbandingan, MC20 Leggenda mengambil nama sebagai legenda perlumbaan dipadankan dengan warna luaran Nero Essenza hitam dan matte Digital Mint teal pada kereta MC12 GT1 Vitaphonerace.

Ia juga dengan angkup brek hitam yang menyerlah dari belakang roda hitam Leggenda, selain ada logo trident kuning di hadapan kereta, di pintu, dan pada tiang-C, yang memberi penghormatan kepada ciri model GT1.

Ruang kabin kedua-dua kereta itu turut menampilkan sistem bunyi Sonus faber terbaik dengan ciri lain seperti pakej dalaman gentian karbon, 'electronic limited-slip differential (E-LSD)', pengangkat suspensi, sistem laluan henti titik buta dan trafik melintas belakang, dan pelapik di bahagian hadapan dan dalam but.

Kedua model didatangkan dengan enjin Nettuno 3.0 liter V6 pengecas turbo berkembar dengan penutup enjin gentian karbon dengan plaque "Icona. Una Di 20" atau "Leggenda bergantung kepada model.

Model ini dengan 621 kuasa kuda (hp) dan tork 730Nm serta boleh memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh sekitar 3.2 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 7:01 AM