TERUJA dapat berlakon watak polis dan melatih diri jadi lebih tertib.  FOTO Genes Gulitah
TERUJA dapat berlakon watak polis dan melatih diri jadi lebih tertib. FOTO Genes Gulitah
Georgie Joseph


Sudah agak lama rasanya tidak mendengar perkembangan pelakon Ramona Zamzam. Mungkin ramai juga pasti tertanya adakah dia masih aktif berlakon lebih-lebih lagi statusnya pun sudah berkeluarga.

Hakikatnya, Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Zamzam, 34, mengakui kerjaya lakonannya rancak saja. Cuma kelibatnya jarang didendang menyebabkan dia sendiri jarang diambil tahu.

Hanya baru-baru ini saja namanya menjadi sebutan apabila lantang menyuarakan pasal Palestin. Bagaimanapun, dia menyifatkan perihal itu memberi hikmah dalam kehidupan peribadinya.

"Selalunya ada saja cuma mungkin sebab saya tak banyak kontroversi. Biasanya yang tak banyak kontroversi tak selalu banyak dapat tumpuan. Tak apalah, itu kedamaian dalam hidup saya.

RAMONA jarang buka media sosial dan tenang jalani kehidupan peribadi. FOTO Genes Gulitah
RAMONA jarang buka media sosial dan tenang jalani kehidupan peribadi. FOTO Genes Gulitah

"Memang lebih bagus pun bila orang kata cerita pasal saya tak terlalu dikeluarkan sangat. Lagi-lagi dengan keadaan yang berlaku di Palestin sekarang.

"Ia juga sebahagian penting usaha jaga nama keluarga, suami, mentua," katanya ditemui pada pelancaran drama TV3 dibintanginya berjudul Polis Peronda, baru-baru ini.

Meskipun kelibatnya mungkin jarang dilihat diperkatakan, Ramona masih lebat mendapat tawaran lakonan. Bahkan, kala ini memang sibuk dengan pelbagai penggambaran untuk produksi berbeza.

Namun dia perasaan kekerapannya mengambil tahu mengenai media sosial semakin terhad sekarang. Katanya faktor itu barangkali menyebabkan namanya agak 'malap'.

"Sebenarnya saya baru habis penggambaran drama lain. Saya terbabit dua drama serentak ketika ini. Sibuk juga sampai saya tak sempat nak kongsi apa-apa hantaran mengenai perkembangan.

"Saya ada masalah jenis tak suka 'buka' telefon. Saya akan ambil masa lama balas mesej di WhatsApp. Bila penggambaran, nak fokus kerja saja. Mungkin juga sebab saya pelakon sejak dari zaman belum ada media sosial.

"Makanya, saya terbiasa tak belek, buka, ambil gambar menerusi telefon ketika bekerja," katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga lebih suka manfaatkan masa cutinya untuk menenangkan diri sambil mengurus hal rumah tangga. Bila perlu saja, dia akan cuba mengemas kini perkembangannya di media sosial.

TERUJA dapat berlakon watak polis dan melatih diri jadi lebih tertib. FOTO Genes Gulitah
TERUJA dapat berlakon watak polis dan melatih diri jadi lebih tertib. FOTO Genes Gulitah

"Bila hari tak ada penggambaran dan berada di rumah, masa itu digunakan untuk berehat. Tak larat kongsi apa-apa sebab nak tumpu anak lagi. Saya cuma nakkan ketenangan itu.

"Apabila drama keluar begini, barulah fokus semula untuk kongsi sebarang perkembangan," katanya yang baru selesai menjayakan penggambaran drama arahan Michael Ang.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam Polis Peronda, Ramona sifatkan peluang diberi penerbitnya Datuk Yusof Haslam itu ibarat rezeki terpijak. Ini kerana, bapanya juga seorang polis.

Melakonkan watak Inspektor Elly, kebanyakan masa penggambaran mereka dihabiskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Katanya, dia tidak merasa janggal pun kena 'berkampung' di sana.

"Bapa saya pegawai pendakwa di Ipoh. Dulu-dulu, polis memang ditugaskan untuk berada di bahagian mahkamah. Apabila saya membesar dan terbiasa tengok bapa pergi kerja, yang bagusnya saya tak jadi janggal.

"Sebab ketika penggambaran memang sentiasa kena berada dengan polis sebenar. Hari-hari melihat banduan keluar masuk tapi tak rasa terkejut sangat pun," katanya.

Berbanding berdepan cabaran, Ramona seronok apabila melatih diri salurkan karakter tegas dalam dirinya. Itu antara aspek yang menjadi keperluan demi hidupkan watak Inspektor Elly.

"Dari segi cabaran, lebih kepada pembawaan diri yang tertib. Kena jaga cara jalan, badan harus tegap, tegas. Sampai ke luar penggambaran pun saya perasaan terbawa pembawaan sebegitu," katanya.

Dalam pada itu, Ramona juga tiada masalah jika ada rakan selebriti terasa susulan tindakannya menempelak segelintir artis berhubung kempen Blockout 2024 yang kecoh dalam media sosial baru-baru ini.

Katanya, artis Malaysia sepatutnya tidak boleh bercanggah rasa dalam diri untuk menyatakan sokongan apabila menyentuh perihal Palestin.

"Siapa yang makan cili dia yang terasa pedas. Sebenarnya saya tak tujukan teguran itu kepada mana-mana pihak pun. Namun, kalau ada yang terasa, silakan. Saya harap mereka rasa tertampar dengan teguran yang saya berikan.

"Sehingga hari ini, tiada siapa datang menyerang secara berdepan atau fizikal. Namun, saya tahu pasti ramai tak berpuas hati dengan saya," katanya.

Dia juga mengakui dalam dunia dalam industri hiburan ini, selebriti kena tunjukkan 'kepalsuan' dalam diri mereka. Tetap bila bercakap mengenai kemanusiaan, katanya tiada kompromi dan perlu teguh pendirian.

"Bagi saya tak sesuai menjadi neutral, lagi-lagi artis berbangsa Melayu dan beragama Islam yang duduk di Malaysia. Jadi, kita kena ada pendirian untuk memilih sama ada sokong atau tidak. Rasa kecewa melihat ramai mahu jadi neutral," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 7:01 AM