MOHD Radzi mencuri perhatian dengan mengenakan topi keledar bertemakan Predator.
MOHD Radzi mencuri perhatian dengan mengenakan topi keledar bertemakan Predator.

BERGAYA dan 'melaram' sambil beramal, itu antara objektif Distinguished Gentlemen's Ride (DGR) 2024 yang berlangsung di Lebuh Duke, di sini, baru-baru ini.

Menghimpunkan 539 peserta, penganjuran kali kesembilan di Pulau Pinang itu berjaya mengumpul USD605 (RM2,824.59) bagi disumbangkan kepada penyelidikan kanser prostat dan kesihatan mental.

Penganjur, Zam Ahmad berkata, acara itu dijalankan serentak di lima lagi lokasi seluruh Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Melaka, Genting, Kuching dan Johor dengan penyertaan paling ramai di Pulau Pinang .

Katanya, bukan sahaja disertai peserta tempatan, acara itu turut membabitkan peserta dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia selain Australia.

"Selain mengumpul sumbangan, objektif utama penganjuran bagi meraikan 'obsesi' peminat terhadap pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi mahupun klasik," katanya.

Terdahulu, detik pelepasan peserta dilakukan jam 11 pagi sebelum peserta berkonvoi ke Sunway Carnival, Seberang Jaya.

Sementara itu, peserta yang menggelar diri sebagai 'Abang Tanjung', Mohd Radzi Amanullah, 39, mencuri perhatian dengan mengenakan topi keledar bertemakan Predator.

Dia yang menaiki motosikal jenis Vulcan 1.7 menyertai acara itu sejak lima tahun lalu bersama beberapa lagi rakannya.

"Saya ada sut Predator bernilai RM12,000 yang mana apabila bahagian kepalanya dipasang di topi keledar, tampak lebih menyerlah dan kreatif tetapi ia hanya dipakai bagi acara tertentu sahaja dan tujuan pameran," katanya.

Bagi Nicholas Cheong, 24, pula, dia menghabiskan RM5,000 sejak 2018 lalu bagi memastikan motosikal milik mendiang bapanya terpelihara.

Katanya, motosikal jenis Triump kesayangannya itu menjadi memori bersama mendiang bapa yang juga mempunyai hobi dan meminati motosikal klasik.

"Saya dan ayah berkongsi hobi yang serupa dan kini apabila menunggang motosikal ini, terasa seolah-olah dia masih ada bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 6:57 AM