LELAKI mengeluarkan mayat mangsa dari runtuhan bangunan di kem pelarian al-Maghazi, susulan serangan Israel. FOTO AFP
LELAKI mengeluarkan mayat mangsa dari runtuhan bangunan di kem pelarian al-Maghazi, susulan serangan Israel. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Israel pada Isnin memperhebat pertempuran terhadap Hamas di Gaza menerusi serangan bertubi-tubi di seluruh wilayah Palestin, yang memburukkan lagi keadaan bagi orang awam, ketika perang itu memasuki minggu ke-12.

Empat serangan besar Israel sejak Ahad, membunuh lebih 100 orang.

Di Gaza, kementerian kesihatan berkata, serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 70 orang pada malam sambutan Krismas di kem pelarian Al-Maghazi.

AFP secara bebas tidak dapat mengesahkan jumlah mangsa maut itu.

Deretan mayat mangsa, diselubungi beg putih, memenuhi tanah di Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah, tengah Gaza, menjelang upacara pengebumian besar-besaran.

Israel kini berdepan tekanan yang semakin meningkat daripada sekutunya untuk melindungi orang awam semasa kempen ketenteraannya.

Bercakap dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, pada Sabtu lalu , Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menekankan keperluan kritikal untuk perlindungan sedemikian, kata Rumah Putih.

Sementara itu, seorang penduduk Al-Maghazi, Zeyad Awad berkata, tidak ada amaran pemindahan sebelum serangan yang menyebabkan kemusnahan besar dan mencetuskan panik itu. .

Dalam pada itu, Kementerian kesihatan memaklumkan 10 ahli satu keluarga terbunuh dalam serangan Israel di kem pelarian Jabalia, di utara Gaza, dan 18 orang maut dalam pengeboman semalaman ke atas Khan Yunis di selatan wilayah itu.

Pada Isnin, tentera berkata, ia meneruskan operasi darat, udara dan laut dan menyerang beberapa sasaran Hamas, termasuk komander.

Sebelum subuh, serangan Israel "menyasarkan sebuah rumah" di kawasan Al-Zuwaida di tengah Gaza, berhampiran Al-Mughazi, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, kata kementerian kesihatan Gaza.

Perang menyaksikan kemusnahan luar biasa di Gaza dengan 2.4 juta penduduknya mengalami kekurangan air, makanan, bahan api dan ubatan.

Sambil menggenggam bekas kosong, berpuluh-puluh penduduk Gaza menunggu di jalan di Rafah, di selatan Gaza, untuk menerima sumbangan makanan.

"Sekarang benar-benar kelaparan. Anak-anak saya mati kelaparan," kata Nour Ismail, salah seorang penduduk Palestin di situ.

Dianggarkan 1.9 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan ramai yang melarikan diri ke selatan dan bersesak-sesak ke tempat perlindungan atau khemah sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 2:42 PM