PASUKAN penyelamat bergegas ke lokasi yang terjejas susulan serangan Israel di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
PASUKAN penyelamat bergegas ke lokasi yang terjejas susulan serangan Israel di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Serangan Israel sebelum Subuh tadi di bandar Rafah di selatan Gaza, membunuh kira-kira 100 orang, menurut kenyataan kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas.

Kenyataan itu menyemak semula jumlah korban awal dilaporkan kementerian iaitu 52 orang.

Wartawan AFP dan saksi mendengar siri serangan yang sengit dan melihat asap berkepul-kepul di udara bandar itu, yang kini menempatkan lebih separuh daripada jumlah penduduk Gaza, selepas mereka melarikan diri dari pengeboman di lokasi lain di wilayah dikepung itu.

Serangan Israel melanda 14 rumah dan tiga masjid di bahagian berbeza di Rafah, menurut kerajaan Hamas.

Tentera Israel dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia "menjalankan beberapa siri serangan ke atas sasaran di kawasan Shaboura di selatan Semenanjung Gaza", sambil menambah bahawa serangan sudah berakhir.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebelum ini mengarahkan tenteranya melancarkan serangan darat di Rafah, kawasan terakhir di Gaza yang masih belum dimasuki tenteranya dalam operasinya di wilayah Palestin itu.

Kira-kira 1.4 juta rakyat Palestin berkerumun di Rafah dengan ramai yang tinggal di dalam khemah, manakala makanan, air dan ubat-ubatan semakin berkurangan.

Situasi kemanusiaan yang tidak menentu di Rafah mendorong kumpulan bantuan dan kerajaan asing, termasuk sekutu utama Israel, Amerika Syarikat, untuk menyatakan kebimbangan mendalam terhadap akibat yang berpotensi membawa bencana akibat peluasan operasi di sana.

Serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober lalu mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Israel bertindak balas dengan serangan tanpa henti di Gaza yang dikatakan oleh kementerian kesihatan wilayah itu membunuh sekurang-kurangnya 28,176 orang, setakat Ahad. Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Berpuluh-puluh tebusan dibebaskan oleh Hamas semasa gencatan senjata selama seminggu pada November yang turut menyaksikan pembebasan lebih 200 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Rundingan baharu untuk jeda pertempuran sudah diadakan di Kaherah, dengan Hamas terbuka kepada gencatan senjata baharu termasuk lebih banyak pertukaran tahanan dan tebusan.

Tetapi seorang pemimpin Hamas memberitahu AFP, dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, bahawa tindakan Israel menggempur Rafah akan 'memusnahkan' rundingan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 1:30 PM