PEMAIN Jerman meraikan kejayaan menempah slot ke suku akhir Euro. FOTO Reuters
PEMAIN Jerman meraikan kejayaan menempah slot ke suku akhir Euro. FOTO Reuters
AFP

Dortmund: Pertahanan Jerman, Nico Schlotterbeck berkata, pasukannya 'bermain dengan keriangan, bermain dengan keseronokan' selepas kemenangan 2-0 ke atas Denmark untuk membawa tuan rumah Euro 2024 itu mara ke suku akhir.

Schlotterbeck, yang disenaraikan dalam kesebelasan utama Jerman selepas penggantungan Jonathan Tah, memuji 'permainan hebat' pasukannya.

"Kami sudah mengeluarkan sesuatu di negara ini.

"Kami bermain dengan euforia (keriangan berlebihan), kami bermain dengan keseronokan dan ketika itulah bola sepak adalah yang paling indah."

Pertahanan Borussia Dortmund itu diketepikan daripada skuad Nagelsmann pada awal 2024 tetapi dipanggil semula ketika kelab Jerman itu mara ke final Liga Juara-Juara Eropah.

Perlawanan ditangguhkan selama 25 minit pada separuh masa pertama akibat ribut dan disambung semula sejurus sebelum rehat separuh masa.

Denmark terlebih dahulu memasukkan bola ke dalam jaring pada awal separuh masa kedua tetapi gol itu dibatalkan kerana ofsaid, beberapa saat sebelum Jerman dihadiahkan penalti, yang disempurnakan Kai Havertz.

Kemenangan Jerman adalah yang pertama mereka dalam perlawanan kalah mati di kejohanan utama sejak 2016 dan menetapkan pertembungan dengan pemenang perlawanan 16 terakhir antara Sepanyol dan Georgia di Stuttgart.

"Saya sangat gembira kami mengekalkan rekod bersih, kami bertahan dengan sangat baik dan hampir tidak membenarkan lawan melakukan apa-apa," kata Schlotterbeck.

"Kami bermain dengan baik, menghadiahkan diri kami dengan dua gol dan saya sangat gembira.

"Kami mempunyai peminat luar biasa di sini hari ini dan stadium bergegar - saya tahu itu dari penyokong Dortmund."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 8:11 AM