Seorang rakyat Palestin memegang pasta yang belum dimasak di tapak serangan Israel ke atas gudang bantuan, di kem pelarian Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza 14 Mac 2024. FOTO REUTERS
Seorang rakyat Palestin memegang pasta yang belum dimasak di tapak serangan Israel ke atas gudang bantuan, di kem pelarian Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza 14 Mac 2024. FOTO REUTERS
AFP

Gaza: Israel melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan di wilayah Gaza dan menyebabkan 20 maut dan mencederakan 155 lagi, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada awal Jumaat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi amaran kebuluran semakin memburuk, dengan usaha ditingkatkan pada Khamis untuk mendapatkan lebih banyak bantuan ke wilayah Palestin yang musnah, di mana pertempuran masih berlaku selepas pengantara gagal mencapai gencatan senjata untuk bulan suci Ramadan yang bermula Isnin.

Kementerian Kesihatan Gaza dikendalikan Hamas dalam satu kenyataan berkata rakyat berkumpul di Bulatan Kuwait di Bandar Gaza di utara apabila mereka ditembak oleh tentera Israel, menambah jumlah angka awal 11 terbunuh dan 100 cedera.

Mohammed Ghurab, pengarah perkhidmatan kecemasan di sebuah hospital di utara Gaza, memberitahu AFP terdapat tembakan langsung ke atas orang ramai yang berkumpul di bulatan untuk menunggu trak makanan.

Seorang wartawan AFP di tempat kejadian melihat beberapa mayat dan orang yang ditembak.

Tentera Israel tidak segera mengulas dakwaan Hamas ketika dihubungi AFP.

Sementara itu melaporkan dari Rafah, Hani Mahmoud dari Al Jazeera berkata, hasrat mendapatkan bantuan sudah menjadi sangat berbahaya di enklaf itu sambil menambah bahawa Bulatan Kuwait kini dikenali sebagai perangkap maut.

"Kami mendengar keluhan daripada penduduk yang kelaparan dan sebahagian besarnya trauma terkandas menderita kesusahan di Semenanjung Gaza. Mereka bertanya apakah tujuan membawa trak bantuan itu ke Gaza dan kawasan utaranya jika mereka ditembak?," katanya.

Beliau berkata, tindakan pencerobohan tentera Israel juga membahayakan kerja pekerja bantuan di lapangan di Gaza.

Bulatan Kuwait terletak di antara kawasan tengah Semenanjung Gaza dan Bandar Gaza, menghubungkan utara Gaza ke selatan.

Lebih 400 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas penghantaran bantuan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menurut pihak berkuasa di Gaza.

Sami Abu Salim, seorang pekerja UNRWA, memberitahu Al Jazeera bahawa dia berasa kecewa dengan serangan ke atas pusat bantuan dan gudang di bahagian timur Rafah kerana pekerja telah bekerja sepanjang masa untuk memberikan bantuan kepada penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

"Menyerang pusat bantuan adalah dilarang. Kami adalah sebuah institusi antarabangsa. Kami membawa semua bantuan ini kepada yang lemah khususnya orang tua dan kanak-kanak," kata Abu Salim.

Kemudahan bantuan kemanusiaan di Rafah adalah satu daripada pusat pengedaran makanan terakhir yang beroperasi di Gaza.

Jurucakap UNRWA Juliette Touma memberitahu Al Jazeera pada Khamis bahawa serangan Israel menyebabkan kerosakan minimum pada bekalan, sambil menambah bahawa agensi itu masih mengagihkan bantuan daripada kemudahan itu selepas serangan zionis yang membunuh seorang pekerjanya dan mencederakan 22 yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 1:37 PM