KANAK-KANAK berdiri berhampiran kawah yang disebabkan oleh pengeboman Israel di jalan di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
KANAK-KANAK berdiri berhampiran kawah yang disebabkan oleh pengeboman Israel di jalan di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Dianggarkan 800,000 orang 'dipaksa' melarikan diri daripada Rafah, susulan serangan Israel tanpa henti di Rafah.

Tentera Israel berkata, serangan udara melanda lebih 70 sasaran di seluruh Gaza, manakala tentera darat melakukan serbuan bersasar di timur Rafah, membunuh 50 pejuang Hamas dan mengesan berpuluh-puluh terowong.

Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, sejak operasi Rafah Israel bermula, terdapat pergerakan besar-besaran.

"800,000 orang berada di jalan raya kerana terpaksa melarikan diri sejak tentera Israel memulakan operasi ketenteraan di kawasan itu pada 6 Mei," katanya di aplikasi X.

Beliau berkata, orang ramai melarikan diri ke kawasan yang tidak mempunyai bekalan air atau sanitasi yang mencukupi.

Ia berlaku ketika perpecahan politik dalam Kabinet Perang Israel mula kelihatan pada malam Sabtu, dengan menteri Benny Gantz berkata, beliau akan meletak jawatan daripada kabinet itu, melainkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meluluskan rancangan pascaperang untuk Gaza.

Gantz menggesa enam matlamat dicapai, termasuk menubuhkan pentadbiran awam multinasional untuk Gaza.

Netanyahu membalasnya dan menggelar ancaman itu sebagai "kata-kata kotor" yang bermaksud kekalahan bagi Israel.

Sementara itu, sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam berkata, kumpulan itu melancarkan serangan roket ke arah pelabuhan Ashkelon dan menyasarkan pusat arahan Israel di kem pelarian Jabalia di utara Gaza.

Lewat Sabtu, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu untuk bahagian utara Gaza, mengatakan Hamas di kawasan itu menembak roket ke Israel.

Sebelum ini, seorang wartawan agensi berkata, serangan udara dan artileri melanda timur Rafah ketika pesawat perang berada di sempadan Gaza dengan Mesir.

Lebih dari 10 hari, selepas apa yang disebut tentera sebagai operasi terhad di Rafah yang mencetuskan penghijrahan, pertempuran juga berlaku semula di utara Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 10:53 AM