BILAL (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran sistem baharu untuk penjagaan wanita selepas bersalin di ibu negara, baru-baru ini.
BILAL (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran sistem baharu untuk penjagaan wanita selepas bersalin di ibu negara, baru-baru ini.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

PENDARAHAN selepas bersalin (PPH) antara penyumbang utama kematian ibu bersalin di seluruh dunia.

Usaha menangani isu itu penting kerana menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 20 peratus kematian ibu bersalin setiap tahun adalah disebabkan PPH.

Setiap tahun, 14 juta wanita mengalami masalah pendarahan selepas bersalin di seluruh dunia.

Dianggarkan seorang wanita meninggal dunia akibat pendarahan selepas bersalin setiap enam minit.

Selain menyebabkan kematian, akibat daripada perkhidmatan penjagaan ibu bersalin yang lemah juga boleh memberikan kesan sosial dan ekonomi yang buruk kepada wanita, keluarga serta komuniti sekeliling mereka.

Menyedari keperluan itu, Organon Malaysia, memperkenalkan penemuan terbaru dalam penjagaan postpartum (selepas bersalin) iaitu Sistem Jada.

Peranti berinovatif berkenaan menggunakan teknologi vakum tahap rendah bagi mewujudkan vakum dalam rahim, menggalakkan ia mengecut seiring dengan fisiologi semulajadi badan.

Ia bagi mengawal dan merawat pendarahan rahim abnormal selepas bersalin dengan berkesan serta berupaya menyelamatkan nyawa.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Organon Malaysia, Bilal Somra berkata, pendarahan selepas bersalin adalah keadaan yang tidak dapat dijangkakan dan serius, selain memberi kesan buruk kepada seorang daripada setiap 10 orang ibu.

Katanya, di Malaysia, PPH antara tiga punca utama kematian ibu bersalin.

"Pengenalan sistem terbaharu itu menandakan pencapaian penting dalam misi kami menangani krisis pendarahan selepas bersalin global yang semakin mendesak.

"Ia menyediakan alat yang penting dalam usaha kami untuk menyelamatkan nyawa dan meningkatkan tahap kesihatan ibu bersalin.

"Meskipun kehilangan nyawa seorang ibu sekalipun, ia kehilangan yang besar," katanya.

Dalam pada itu, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar kematian ibu bersalin (MMR) pada 2022 adalah 26 bagi 100,000 kelahiran hidup dengan 110 kematian ibu bersalin.

SISTEM Jada antara penemuan terbaharu dalam penjagaan wanita selepas bersalin.
SISTEM Jada antara penemuan terbaharu dalam penjagaan wanita selepas bersalin.

Ancaman berterusan PPH sebagai antara penyumbang utama kematian ibu menekankan keperluan mendesak untuk strategi inovatif dan berkesan bagi menangani krisis itu di Malaysia.

Sistem itu direka bagi menyediakan kawalan dan rawatan segera untuk pendarahan rahim abnormal selepas bersalin bagi mengelakkan komplikasi buruk akibat PPH.

Peranti berinovatif itu menggunakan vakum tahap rendah terkawal bagi merangsang pengecutan rahim atonik, di mana ia mampu menghentikan pendarahan secara berkesan dalam hanya beberapa minit.

Pakar Perunding Kanan Fetomaternal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dan Fakulti Perubatan, UiTM Kampus Sungai Buloh, Profesor Dr Jamiyah Hassan berkata, pendarahan rahim berjaya dikawal dalam 94 peratus pesakit tanpa memerlukan rawatan lanjut.

Kata beliau, pendarahan selepas bersalin sukar dijangka dan pengurusan yang tidak lengkap boleh membawa kepada kesan yang sangat buruk.

"Sistem yang berinovatif itu berupaya menyelamatkan nyawa dalam situasi pengurusan PPH yang serba mencabar ini, di mana masa adalah faktor penting dalam usaha menyelamatkan nyawa seorang ibu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 6:20 AM