PENJAGAAN paliatif memerlukan bimbingan. (Gambar Hiasan)
PENJAGAAN paliatif memerlukan bimbingan. (Gambar Hiasan)
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DI peringkat global, keperluan untuk penjagaan paliatif sedang meningkat disebabkan populasi yang semakin tua dan peningkatan beban penyakit kronik.

Di Malaysia, nisbah keperluan penjagaan paliatif kepada kematian adalah sekitar 71 peratus dan dijangka meningkat kepada 240 peratus menjelang 2030.

Di antara semua negeri, Sarawak, Perak, Johor, Selangor dan Kedah dikatakan akan menjadi lima negeri teratas Malaysia dengan keperluan tertinggi pada 2030.

Penjagaan paliatif adalah penjagaan perubatan khusus untuk orang yang hidup dengan penyakit serius.

Perkhidmatan penjagaan paliatif mula ditawarkan di Malaysia pada 1995 dan ia secara beransur-ansur dimasukkan ke dalam sistem penjagaan kesihatan standard.

Dua puluh tahun yang lalu menyaksikan banyak penekanan tertumpu pada kejurulatihan, di peringkat antarabangsa.

Menurut Pakar Penjagaan Paliatif Hospital Ampang, Dr Liew Kean Yew, bimbingan dalam penjagaan paliatif merujuk kepada amalan memberi sokongan, bimbingan dan pendidikan kepada individu menghadapi penyakit terminal atau yang mengancam nyawa, serta keluarga dan penjaga mereka.

Walaupun ia bertujuan meningkatkan kualiti hidup dengan pengesanan awal dan rawatan kesakitan dan gejala namun ia juga sebenarnya membolehkan pesakit dan keluarga mereka mengambil peranan aktif dalam memilih cara mereka akan dirawat.

Selain itu, mendapatkan semula rasa kawalan ke atas kehidupan sendiri.

"Penjagaan paliatif bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga mereka berkaitan dengan penyakit yang mengancam nyawa.

"Memandangkan penjagaan paliatif memerlukan proses interaktif dan interpersonal antara pesakit, saudara mara mahupun profesional penjagaan kesihatan, bimbingan dapat membantu individu itu mengembangkan kemahiran komunikasi mereka.

"Ia bagi menyatakan keperluan, keutamaan dan kebimbangan mereka dengan lebih berkesan untuk membawa kepada peningkatan kepuasan dalam hasil penjagaan," katanya

Menurut Dr Liew lagi, bimbingan dalam penjagaan paliatif juga dikenali sebagai amalan pendidikan kesihatan dan promosi kesihatan untuk meningkatkan kesejahteraan individu.

Katanya, bimbingan penjagaan paliatif dapat membantu pesakit dan keluarga mereka melalui penetapan matlamat, penyelesaian masalah dan pengurusan gejala dengan lebih baik.

"Selain itu, bimbingan juga dapat menyokong individu dalam membuat keputusan termasuk pilihan rawatan, perancangan penjagaan awal dan penjagaan akhir hayat yang agak mencabar apabila menjalani rawatan," katanya.

Sementara itu, ahli Makmal Kesan Penuaan Aktif Universiti Taylor, Dr Jesrina Ann Xavier berkata, melalui penyediaan maklumat, penjelasan pilihan dan bantuan dalam menimbang kelebihan mahupun kekurangan pelbagai kemungkinan, ia menjadi lebih mudah bagi pesakit untuk menyokong hak serta pilihan mereka.

Di samping itu, dalam memberi pesakit dengan rawatan yang sesuai, jurulatih boleh menyampaikan bimbingan penjagaan dengan lebih lengkap.

"Bimbingan penjagaan paliatif dapat membantu pesakit, keluarga dan profesional penjagaan kesihatan untuk menyelaras serta bekerjasama bagi menggalakkan kesinambungan rawatan demi mencapai objektif bersama.

"Ia mengguna pakai strategi komprehensif kerana pengalaman setiap orang dengan penyakit berbeza dan pelbagai.

"Selanjutnya untuk merawat gejala fizikal, jurulatih biasanya menangani isu emosi, sosial dan rohani.

"Justeru, bimbingan adalah penting dalam penjagaan paliatif kerana penting untuk diingatkan bahawa penghujung kehidupan memerlukan keindahan, penjagaan dan penghormatan sepertimana permulaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 6:31 AM