Pengendali Itali, Luciano Spalletti (kanan) ambil sepenuhnya tanggungjawab atas kekalahan di tangan Switzerland. FOTO Agensi
Pengendali Itali, Luciano Spalletti (kanan) ambil sepenuhnya tanggungjawab atas kekalahan di tangan Switzerland. FOTO Agensi
Agensi

Berlin, Jerman: Gol kedua Switzerland di awal separuh masa kedua disifatkan sebagai punca kekalahan yang 'membunuh' semangat pemain Itali yang terpaksa akur tewas 2-0 sekali gus gagal mempertahankan trofi kejuaraan.

Dalam aksi pusingan 16 terbaik itu, dua gol setiap babak menyaksikan Switzerland melangkah ke suku akhir Euro selepas mengenepikan Itali yang juga juara bertahan.

Switzerland berjaya membuka jaringan awal pada minit ke-37 menerusi pemain tengah, Remo Freuler, yang merembat bola hasil hantaran Ruben Vargas.

Sebaik babak kedua bermula, Switzerland terus menambah gol kedua menerusi Ruben Vargas pada minit 46 untuk memberi tekanan skuad Azzuri.

Pengendali Itali, Luciano Spalletti berkata, pemainnya gagal mempamerkan aksi diharapkan sepanjang 90 minit permainan.

"Kami tidak bermain baik pada babak pertama. Tetapi kami mahu bangkit di babak kedua, namun gol kedua Switzerland nyata menjadi punca mengapa kami tewas.

"Apa yang membezakan kami dengan pihak lawan ialah pemain mereka menggunakan ruang yang ada untuk menghukum kami. Ia keputusan yang mengecewakan namun kami perlu menerimanya," katanya.

Spalletti turut memohon maaf di atas kegagalan pasukannya dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya kekalahan itu.

Di suku akhir nanti, Switzerland akan bertemu pemenang antara England dan Slovakia yang akan turun beraksi tengah malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 2:50 AM