PANDANGAN dari Rafah, menunjukkan asap memenuhi langit bandar Khan Younis di Selatan Gaza yang dibedil Israel, semalam. FOTO AFP.
PANDANGAN dari Rafah, menunjukkan asap memenuhi langit bandar Khan Younis di Selatan Gaza yang dibedil Israel, semalam. FOTO AFP.
Agensi

Baitulmaqdis: Sembilan orang terbunuh selepas kem perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bandar selatan Gaza, Khan Younis diserang tentera Israel.

Pengarah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Gaza, Thomas White mengesahkan kereta kebal Israel melepaskan dua das tembakan ke arah bangunan yang menempatkan 800 orang.

"Sembilan meninggal dunia manakala 75 orang lagi cedera," katanya di platform X.

Rabu lalu, White berkata, pusat latihan yang melindungi keluarga pelarian dibakar.

"Jumlah mangsa dijangka meningkat kerana pegawai PBB memaklumkan insiden itu berkemungkinan menyebabkan korban besar-besaran," katanya.

Sementara itu, jurucakap UNRWA Adnan Abu Hasna yang berpangkalan di Rafah memberitahu Al Jazeera, PBB cuba menghantar ambulans ke kawasan bencana dengan kerjasama tentera Israel.

Katanya, tiada amaran dikeluarkan tentera Israel sebelum serangan itu.

"Kami tidak dapat mengakses pekarangan kawasan itu sejak 48 jam lalu kerana dikelilingi kereta kebal Israel.

"Keadaan sangat berbahaya. Kami cuba menyelaras usaha memindahkan orang secara dalaman di sana tetapi malangnya belum berjaya," katanya.

Dalam pada itu, Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini mengutuk serangan ke atas tempat perlindungan itu sebagai pelanggaran peraturan perang secara terang-terangan.

"Pekarangan itu dengan jelas ditanda kemudahan PBB dan koordinatnya dikongsikan kepada pihak berkuasa Israel, seperti yang kami lakukan terhadap semua kemudahan kami," tulisnya dalam catatan di X.

Timbalan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Vedant Patel pula berkata, serangan itu sangat membimbangkan.

"Kami kesal dengan serangan ke atas pusat latihan UNRWA. Orang awam mesti dilindungi dan sifat melindungi kemudahan PBB mesti dihormati," katanya.

Israel meneruskan serangan sengit ke atas Khan Younis antara lain menyasarkan kemudahan perubatan, dengan setakat ini 660 serangan ke atas institusi kesihatan direkodkan di Gaza.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, tentera Israel mengasingkan Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis selepas ia dikepung dan tentera darat terbabit dalam pertempuran jarak dekat dengan pejuang Hamas.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) juga berkongsi di X yang tentera Israel mengepung ibu pejabatnya dan Hospital El Amal di bandar selatan, menguatkuasakan sekatan ke atas pergerakan masuk dan keluar dari kemudahan perubatan.

Khan Younis pernah ditetapkan sebagai 'zon selamat' untuk ratusan ribu rakyat Palestin yang berpindah dari utara dan Gaza City pada permulaan perang.

Sekurang-kurangnya 25,700 penduduk Gaza terbunuh dan 63,740 cedera dalam serangan Israel ke atas semenanjung itu sejak perang bermula pada 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 11:57 AM