SUV kompak gaya urban.
SUV kompak gaya urban.
Lizam Ridzuan


Buat yang mahukan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak sesuai buat kegunaan urban dengan rekaanmenarik, model ini antara yang terdapat di pasaran.

Vroom memandu uji model Mazda CX-3 1.5L 2WD Plus adalah varian terbaharu diperkenalkan menggantikan varian Core sebelum ini yang juga antara tiga varian lain ditawarkan di Malaysia iaitu 2.0L Plus dan 2.0L High.

Moden segmen-B crossover ini dibezakan daripada kapasiti enjin dan kemasan namun ia didatangkan dengan rekaan yang sama.

Cuma untuk varian High ia dilengkapi rim bersaiz 18 inci dan untuk Plus keduanya dengan rim bersaiz 16 inci.

Ciri lain dengan gril krom, lampu hadapan LED, lampu nyaaan siang (DRL), lampu belakang kombinasi LED, serta dapra hitam pada gelung roda menyerlahkan gaya.

CIRI crossover bergaya.
CIRI crossover bergaya.

Menyentuh ke dalam kabin ia tampil dengan rekaan ringkas pada papan pemuka dengan elemen bulat menjadi ciri utama pada corong dan butang pendingin hawa, meter pemandu dan butang sistem multimedia.

Untuk sistem infotainmen dengan skrin sesentuh bersaiz 8 inci TFT dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta sebagai kamera undur.

Roda stereng teleskopik dengan pedal tangan sserta butang fungsi kawalan audio dan menjawab panggilan telefon menerusi sistem Bluetooth.

Untuk kerusi didatangkan dengan lapisan fabrik serta larasan manual untuk penumpang hadapan dan belakang dengan fungsi jatuhan 60:40 untuk ciri praktikal jika membawa muatan yang lebih.

Untuk pemanduan dengan enjin 1,496 cc Skyactiv-G DOHC, 16 injap 4 silinder dengan VVT menjana 114 kuasa kuda pada 6,000 rpm dan tork 149Nm pada 4,000 rpm yang dipadankan dengan kotak gear automatik 6 kelajuan Skyactiv dengan mod manual.

ENJIN 1.5 liter Skyactiv-G.
ENJIN 1.5 liter Skyactiv-G.

Jika dibandingkan dengan dua varian teratas sudah pasti agak kurang dari segi kuasa namun varian 1.5 Plus menawarkan penggunaan bahan api lebih efisien dengan 5.7 liter setiap 100 kilometer (km).

Sebagai crossover dengan berat sekitar 1,259 kilogram (kg) ia tangkas pada pelbagai kelajuan sama ada dalam bandar atau lebuh raya dan pengendalian lebih selesa serta tepat menerusi MacPherson Struts hadapan dan belakang torsion beam.

Untuk lebih responsif, mod Sport boleh dipilih penulis yang menawarkan ciri pemanduan lebih dinamik terutama ketika di laluan berselekoh.

KABIN ciri ringkas dan elegan.
KABIN ciri ringkas dan elegan.

Untuk ciri keselamatan dengan enam beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Tenaga-Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Kawalan Kestabilan DInamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Permulaan Bukit, Walk Away Lock dan Isofix antara tersedia.

Secara keseluruhannya model paling muda untuk siri CX ini kekal dengan rekaan menarik dan dalam masa sama menawarkan ciri crossover bergaya dengan ciri terbaharu.

Untuk penulis duduk di hadapan kekal selesa namun untuk penumpang belakang terasa ruang yang kompak dan lebih sesuai untuk dua dewasa.

Sesuai sebagai model crossover ia juga dengan ruang kargo yang terhad namun masih boleh memuatkan barangan keperluan dengan baik.

Untuk penggunaan bahan api adalah efisien dengan 48 liter ia mampu menjangkau lebih 500 km dengan pelbagai kelajuan yang dipandu penulis.

Tujuh pilihan warna ditawarkan dan Mazda CX-3 adalah import sepenuhnya (CBU) dari Thailand dan untuk varian 1.5L 2WD Plus ditawarkan pada harga RM115,720 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun waranti dan penyelenggaraan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 6:17 AM