FILEM Punjabi Saazish menampilkan Adi Putra sebagai teraju utama dalam dunia gengsterisme.
FILEM Punjabi Saazish menampilkan Adi Putra sebagai teraju utama dalam dunia gengsterisme.
Syafil Syazwan Jefri


FILEM: Saazish

PENGARAH: Arjin Uppal

PELAKON: Kulbeer Singh, Avinder Singh, Aman Virk, Navinder Kaur, Balvinder Kaur, Harcharan Singh, Paul Masih, Prince Hans, Chanchel Singh, Datuk Adi Putra

TERBITAN: White Merpati Entertainment Sdn Bhd, Sri Saheb Production Sdn Bhd

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Saazish ialah sebuah filem Punjabi Malaysia yang menggabungkan elemen-elemen bahasa Punjabi dan bahasa Melayu dalam naratifnya. Filem ini menonjol dalam industri perfileman tempatan kerana ia antara filem Punjabi yang dihasilkan di Malaysia.

Dengan durasi sekitar satu jam, Saazish bawa penonton menerokai dunia gengsterisme yang penuh dengan intrik dan aksi.

Jalan cerita Saazish mudah dan ringkas menjadikannya mudah difahami penonton. Filem ini mengisahkan mengenai dunia gengsterisme yang sering digambarkan dengan penuh dramatik.

Meskipun plotnya agak klise dan boleh dijangka, ia tetap memberi kepuasan kepada penonton yang mencari hiburan aksi yang tidak terlalu rumit.

Kisah ini bermula dengan pengenalan beberapa watak utama yang terbabit dalam konflik gengster yang akhirnya membawa kepada satu klimaks yang penuh aksi. Tentunya ada watak hero dan heroin seperti mana filem aksi lain.

Penggunaan kedua-dua bahasa ini tidak hanya menambah keaslian kepada cerita, tetapi juga memperlihatkan realiti masyarakat Punjabi di Malaysia yang sering kali berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa ini.

Filem ini menampilkan wajah baharu dalam industri perfileman tempatan, yang memberi nafas baharu kepada lakonan dalam filem ini.

Penggabungan pelakon baharu dengan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra membawa dimensi yang lebih dalam kepada watak-watak dalam Saazish.

Adi Putra dengan pengalamannya yang luas dalam industri memberilakonan mantap dan berjaya membawa wataknya sebagai pegawai polis dengan penuh keyakinan.

BABAK menarik dalam filem Saazish.
BABAK menarik dalam filem Saazish.

PADAT dengan aksi.
PADAT dengan aksi.

Watak-watak lain juga berjaya memberikan persembahan yang baik walaupun mereka masih baharu dalam industri.

Babak aksi dalam Saazish tidak kurang hebatnya dengan adegan letupan dan pelbagai aksi mendebarkan.

Walaupun filem ini mempunyai bajet terhad sekitar RM500,000, pengarahnya, Arjin Uppal berjaya menggunakan sumber yang ada dengan sebaik mungkin untuk menghasilkan adegan-adegan aksi yang meyakinkan.

Kesan khas digunakan dalam adegan letupan dan pertarungan juga cukup baik untuk sebuah filem dengan bajet sederhana.

Namun begitu, Saazish tidak terlepas daripada kelemahan. Antara kelemahan utama filem ini adalah ketiadaan 'plot twist' yang mengejutkan.

Dari awal lagi, penonton sudah dapat mengagak siapa watak jahat dan siapa watak baik. Ini sedikit sebanyak mengurangkan elemen kejutan yang penting dalam sebuah filem aksi.

Selain itu, ada beberapa babak longgar yang boleh diperbaiki pada masa akan datang. Beberapa adegan terasa kurang kemas dan boleh ditingkatkan lagi dari segi pengarahan dan suntingan.

Meskipun begitu, kelemahan ini tidaklah terlalu mencacatkan keseluruhan filem dan masih boleh dimaafkan.

Secara keseluruhannya, Saazish usaha yang baik dalam mengangkat filem Punjabi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Ia membawa kelainan dan keberanian yang jarang kita lihat dalam industri perfileman tempatan.

Walaupun ada beberapa kelemahan, filem ini wajar diberi pujian kerana berjaya menggunakan bajet terhad dengan sebaik mungkin untuk menghasilkan filem yang menarik.

Saazish membuka jalan bagi lebih banyak karya tempatan yang berani dan berbeza, dan dengan beberapa penambahbaikan, ia berpotensi menjadi pelopor kepada lebih banyak filem Punjabi yang berkualiti tinggi dari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 6:48 AM