KEPULAN asap di atas bangunan ketika serangan awal pagi Israel ke atas Rafah pada Sabtu, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan militan Hamas. FOTO AFP
KEPULAN asap di atas bangunan ketika serangan awal pagi Israel ke atas Rafah pada Sabtu, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan militan Hamas. FOTO AFP
Agensi

Rafah: Tentera Israel mengeluarkan arahan terbaharu kepada penduduk di lebih banyak kawasan di timur dan tengah Rafah untuk berpindah berikutan mahu meluaskan serangannya di Semenanjung Gaza.

Ia menyebabkan puluhan ribu penduduk Palestin terpaksa berpindah sekali lagi.

Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menganggarkan, 150,000 rakyat Palestin yang berpindah kebanyakannya melakukannya beberapa kali.

Melaporkan untuk Al Jazeera dari Deir al-Balah di tengah Gaza, Tareq Abu Azzoum memaklumkan, pihak berkuasa Israel menggugurkan risalah dan membuat panggilan telefon untuk perintah pemindahan.

"Mereka kini mengarahkan orang ramai melarikan diri dari kawasan tengah Rafah, bukan sahaja bahagian timur. Sekarang pertempuran semakin berkecamuk," lapornya.

Tareq berkata, semalam perintah pemindahan dikeluarkan untuk Shaboura dan kawasan Hospital Kuwait.

"Orang ramai diberitahu untuk melarikan diri kerana kawasan ini akan menjadi zon operasi ketenteraan untuk tentera Israel pada masa akan datang.

"Keadaannya benar-benar teruk," katanya.

Pengarah hospital di Rafah, Saheb al-Hams berkata, perintah pemindahan yang diperluaskan termasuk Hospital Kuwait di bandar Rafah yang masih merawat sejumlah pesakit dan orang cedera.

"Tiada tempat lain untuk pesakit dan orang yang cedera pergi kecuali hospital ini.

"Saya merayu supaya kemudahan ini mendapat perlindungan antarabangsa segera," katanya dalam mesej video yang diperoleh Al Jazeera.

Terdahulu, tentera Israel dalam satu kenyataan mendakwa, kira-kira 300,000 penduduk Gaza dari bahagian timur Rafah berpindah ke al-Mawasi sejak arahan itu dikeluarkan Isnin lalu.

Israel mendakwa al-Mawasi yang terletak di pantai barat Gaza, zon kemanusiaan selamat. T

Bagaimanapun, kumpulan kemanusiaan dan penduduk Palestin yang terlantar berkata, puluhan ribu orang berkerumun ke kawasan itu dan menghadapi kekurangan makanan dan air yang teruk selain pengeboman berkala.

"Mereka memberitahu kami kawasan ini tidak terancam dan selamat. Tetapi ternyata kawasan ini berbahaya," kata Ahmad Abu Nahil, seorang penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal kepada Al Jazeera.

Seorang lagi penduduk, Raed al-Fayomi menyifatkan keadaan itu sebagai sangat berbahaya.

"Kami tidak dapat tidur pada waktu malam kerana tembakan artileri dan roket. Keadaannya sangat sukar dan makanan tidak mencukupi," katanya.

Isnin lalu, tentera Israel pada mulanya mengarahkan pemindahan timur Rafah ketika mereka merampas kawalan lintasan dengan sempadan Mesir sebelum serangan darat di bandar itu yang menempatkan kira-kira 1.4 juta orang yang dipindahkan berlindung.

Kelmarin, kereta kebal Israel menawan jalan utama yang membahagikan bahagian timur dan barat Rafah dengan berkesan mengelilingi bahagian timur bandar itu.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 11:16 AM