ASAP tebal susulan pengeboman Israel di Jabalia, utara Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal susulan pengeboman Israel di Jabalia, utara Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Ribuan penduduk melarikan diri dari utara Gaza, pada Isnin, ketika perang kembali sengit apabila Israel mendakwa pejuang Hamas berkumpul semula walaupun beberapa bulan lalu mengumumkan kawasan itu sudah 'dibersihkan'.

"Tentera menggugurkan risalah dan menghantar mesej melalui telefon bimbit yang memberi amaran kepada semua orang supaya meninggalkan Jabalia," kata Umm Odai Nassar, selepas sampai ke Bandar Gaza dari kem pelarian berhampiran utara Semenanjung Gaza.

Dia adalah seorang daripada ramai rakyat Palestin yang kekal di utara Gaza walaupun kemusnahan besar terhadap infrastruktur awam yang dilakukan pada bulan-bulan awal kempen ketenteraan Israel terhadap Hamas di wilayah itu.

"Ini bukan kali pertama kami kehilangan tempat tinggal. Setiap kali kami cuba pulang dan menetap, ada operasi pencerobohan, dan tentera dengan kapal terbang dan kereta kebalnya mengebom rumah dan membunuh orang," kata Nassar.

Israel pada Sabtu berkata, ia beroperasi semula di kem Jabalia untuk menentang percubaan Hamas untuk memulihkan semula keupayaan ketenteraannya di kawasan itu.

Sejak itu, wartawan AFP sudah melaporkan pertempuran di sana dan di kejiranan Zeitun di Bandar Gaza. Hamas berkata, ia terbabit dalam pertempuran dengan Israel berhampiran Bandar Gaza.

Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) berkata, anggarannya sehingga minggu ini menunjukkan kira-kira 250,000 orang tinggal di utara Gaza.

Pertempuran sengit yang berulang semula di utara, ketika Israel memperhebatkan kempen ketenteraannya di selatan dan timur bandar Rafah.

Mahmud al-Barsh, 33, dari Jabalia, berkata, dia merasakan kehidupan penduduk Gaza "sudah menjadi seperti kucing dan tikus."

"Kami bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan serangan tembakan berterusan," katanya dari Bandar Gaza.

Serangan Israel sejak 7 Oktober ke atas wilayah Palestin membunuh sekurang-kurangnya 35,091 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Pada lewat Isnin, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, sejak arahan pemindahan dikeluarkan pada Sabtu untuk utara Gaza, kira-kira 100,000 orang sudah dipindahkan dari sana.

Kepulan asap gelap di udara akibat pengeboman Israel memenuhi suasana ketika beberapa keluarga mengalihkan barang-barang mereka dengan kereta kuda.

Ada yang menuju ke pusat perlindungan UNRWA di utara Gaza walaupun beberapa struktur itu sudah dibedil oleh tentera Israel, UNRWA memberitahu AFP.

Agensi pertahanan awam Gaza berkata, pesawat pejuang Israel melakukan "serangan udara berturut-turut" ke atas Zeitun, membedil beberapa rumah hingga musnah dan menyebabkan banyak kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 1:58 PM