PENDUDUK Palestin berlindung di khemah di kawasan pantai di Rafah. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin berlindung di khemah di kawasan pantai di Rafah. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Tentera laut Israel menyasarkan bot nelayan Palestin di luar pantai selatan Gaza sehingga merosakkan bot mereka, pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.

Seorang wartawan agensi berita itu yang melaporkan kejadian berkenaan berkata, kejadian berlaku di luar pantai Semenanjung Gaza, berhampiran bandar Khan Younis.

"Sebuah bot tentera Israel melepaskan tembakan ke arah bot nelayan Palestin, manakala nelayan itu cuba mengelak tembakan dan dengan cepat, mendayung botnya ke pantai," katanya.

Di tengah-tengah kekurangan makanan yang teruk di Semenanjung Gaza dan ketika Tel Aviv meneruskan serangan ke atas wilayah itu, tentera laut Israel turut menyekat aktiviti perikanan Palestin.

Pada 9 November, dua mayat nelayan Palestin ditemukan dalam serangan Israel yang menyasarkan bot mereka di luar pantai berhampiran bandar Rafah di selatan Gaza.

Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) sudah memberi amaran bahawa penduduk di utara Semenanjung Gaza di ambang kebuluran dan tidak mempunyai tempat untuk berlindung kerana perang yang berterusan.

Israel mula menggempur Semenanjung Gaza sejak pejuang Hamas melancarkan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober tahun lalu.

Serangan Israel sudah membunuh lebih daripada 29,600 orang dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan. Hampir 70,000 orang cedera.

Perang itu mendorong 85 peratus daripada penduduk wilayah itu berpindah di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus daripada infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Keputusan sementara ICJ pada Januari lalu mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Bagaimanapun, perang berterusan dan penghantaran bantuan masih sangat tidak mencukupi untuk menangani malapetaka kemanusiaan di wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 11:14 AM