PELARIAN kanak-kanak Palestin, Lana Hanoon, duduk di sisi datuknya yang sedang membakar roti, ketika berlindung di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
PELARIAN kanak-kanak Palestin, Lana Hanoon, duduk di sisi datuknya yang sedang membakar roti, ketika berlindung di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran mengenai ancaman kekurangan makanan di utara dan tengah Gaza.

Ketua UNRWA Philippe Lazzarini berkata, kali terakhir agensi itu dibenarkan menghantar bekalan makanan ke kawasan itu lebih dua minggu lalu, pada 23 Januari.

Agensi bantuan kemanusiaan lain juga melaporkan sekatan untuk menghantar bantuan ke wilayah Palestin, berikutan serangan berterusan rejim Israel sejak 7 Oktober.

"Sejak awal tahun ini, separuh daripada permintaan untuk misi bantuan ke utara ditolak," tulis Lazzarini di X.

Dalam hantarannya itu, beliau menegaskan penduduk di utara Gaza dipercayai berada di ambang kebuluran.

"Sekurang-kurangnya 300,000 penduduk yang menetap di kawasan itu bergantung kepada bantuan kami untuk kelangsungan hidup mereka."

Israel, yang mengepung wilayah kecil berpenduduk padat itu, mengarahkan penduduk di utara dan tengah Gaza untuk bergerak ke selatan.

Lebih separuh daripada anggaran 2.4 juta penduduk Gaza kini berkerumun di bandar Rafah di selatan tatkala Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terus menerus mengarahkan tentera melancarkan serangan.

Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Gaza, Thomas White berkata, kini wujud kebimbangan mengenai serangan di Rafah.

"Ia akan menjadi sangat sukar untuk menguruskan operasi bantuan (kemanusian) jika kami terpaksa berpindah dari Rafah. Kami sedang bergelut untuk memenuhi permintaan rakyat sekarang," katanya kepada Al Jazeera.

"Jika ratusan ribu orang bergerak lagi, kami tidak mempunyai sumber untuk menyokong mereka, kami tidak akan dapat menjalankan operasi dengan berkesan atau selamat di bandar yang diserang tentera Israel."

Ketua Agensi Kemanusiaan PBB OCHA di Gaza, Georgios Petropoulos memberitahu AFP, agensi bantuan disekat, penduduk di utara Gaza di ambang kebuluran.

"Penduduk mengerumuni trak dan kenderaan lain yang membawa barang bantuan, memunggah (berebut mendapatkan bantuan) dalam beberapa minit," tambahnya.

Wartawan AFP pada Rabu menyaksikan ratusan lelaki menunggu konvoi trak bantuan di selatan Gaza di jalan utama dari utara ke selatan.

Apabila mereka melihat kenderaan tentera Israel mara ke arah mereka, ramai yang melarikan diri tetapi yang lain terus bergerak ke arah konvoi.

Beberapa antara mereka cedera akibat tembakan dan dibawa ke hospital, tambah wartawan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 11:35 AM