REAKSI orang ramai ketika majlis pengebumian penduduk Palestin di Deir Al-Balah, tengah Gaza. FOTO Reuters
REAKSI orang ramai ketika majlis pengebumian penduduk Palestin di Deir Al-Balah, tengah Gaza. FOTO Reuters
AFP

Rafah: Serangan berterusan Israel ke atas Gaza, Palestin, sejak tujuh bulan lalu, menyaksikan angka korban meningkat kepada lebih 35,000 orang.

Kementerian kesihatan wilayah itu pada Ahad berkata, sekurang-kurangnya 63 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

"Ia menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat pengeboman dan serangan Israel di Gaza kepada sekurang-kurangnya 35,034 orang.

"Kebanyakan mangsa ialah wanita dan kanak-kanak," katanya.

Wartawan AFP, saksi dan pegawai perubatan berkata, serangan Israel melanda beberapa kawasan di Gaza semalaman sehingga pagi Ahad dengan Israel mendakwa, jet mereka melancarkan lebih 150 sasaran.

Sementara itu, penduduk di Rafah yang kebanyakan mereka kehilangan tempat tinggal meletakkan tangki air, tilam dan barangan lain ke atas kenderaan dan bersedia untuk melarikan diri lagi.

Penduduk, Mohammed Hamad, 24, berkata, tembakan meriam tidak berhenti menyebabkannya terpaksa melarikan diri dari timur Rafah ke bahagian barat.

"Kami tidak akan berganjak sehingga kami merasakan bahaya datang ke barat.

"Tiada tempat selamat di Gaza untuk kita berlindung," katanya kepada AFP.

Jurucakap pihak berkuasa sempadan Gaza, Hisham Adwan berkata, lintasan Rafah masih ditutup sejak tentera Israel merampas kawasan itu pada Selasa.

"Ia menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan dan menutup peluang pesakit yang memerlukan rawatan perubatan di luar.

"Tentera Israel mara dari sempadan timur kira-kira 2.5 kilometer ke Rafah," katanya.

Tentera Israel berkata, pihaknya membuka lintasan sempadan baharu ke utara Gaza sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan laluan bantuan ke Semenanjung Gaza dan ke utara Semenanjung Gaza.

Dalam pada itu, Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pula menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera, pembebasan tanpa syarat semua tebusan dan peningkatan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang terkepung.

"Itu hanya berlaku jika ada gencatan senjata," katanya pada satu persidangan di Kuwait yang menyaksikan negara berkaitan mengumpul lebih AS$2 bilion (RM9.49 bilion) untuk membantu wilayah Palestin yang musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 12:33 PM