API marak dan asap di atas bangunan di Kota Gaza ketika pesawat perang Israel mensasarkan kawasan kantong, Palestin. FOTO AFP
API marak dan asap di atas bangunan di Kota Gaza ketika pesawat perang Israel mensasarkan kawasan kantong, Palestin. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Sekurang-kurangnya 55 serangan udara dilepaskan jet pejuang Israel ke atas Semenanjung Gaza pada awal pagi hari ini, menurut Al Jazeera.

Bagaimanapun, semalam menyaksikan serangan paling buruk apabila mengorbankan 42 penduduk Palestin dan puluhan lagi cedera.

Israel dikatakan menyasar beberapa pangkalan tentera dan keselamatan di wilayah Palestin dan tanah kosong di timur kota Gaza.

Bangunan empat tingkat di tengah bandar itu turut dibom, namun laporan awal menyebut ia sempat dikosongkan sebelum serangan bermula.

"Api marak membakar pangkalan tentera, pangkalan keselamatan dan kem latihan kosong milik pejuang Palestin," kata wartawan Safwat al-Kahlout.

Belum ada korban jiwa dilaporkan dalam serangan udara itu.

Sejak konflik Israel-Palestin berlaku Isnin lalu, jumlah keseluruhan mangsa korban di Semenanjung Gaza mencecah 192 orang termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita.

Sementara itu, 10 kematian berlaku di tanah Israel termasuk dua kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 9:50 AM