PEJUANG Palestin menaiki kenderaan tentera Israel yang berjaya dirampas di selatan Semenanjung Gaza. FOTO Reuters.
PEJUANG Palestin menaiki kenderaan tentera Israel yang berjaya dirampas di selatan Semenanjung Gaza. FOTO Reuters.
Agensi

Gaza: Seorang pemimpin kanan Hamas memaklumkan kumpulan itu menangkap tentera Israel yang mencukupi untuk mendesak pihak berkuasa Israel membebaskan semua tahanan Palestin di penjaranya.

Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Saleh al-Arouri berkata kepada Al Jazeera, pertempuran masih berterusan.

"Tahanan kami di penjara (Israel), kebebasan mereka semakin terbuka luas. Apa yang kita ada di tangan kita, akan membebaskan semua tahanan kita. Semakin lama pertempuran berterusan, semakin tinggi bilangan banduan," katanya yang mendakwa pegawai kanan tentera Israel antara yang ditangkap tetapi tidak memberikan sebarang angka.

Menurut angka terbaharu oleh Addameer, sebuah NGO hak banduan, hampir 5,200 warga Palestin berada di penjara Israel, termasuk 33 wanita, 170 kanak-kanak bawah umur dan lebih 1,200 diletakkan di bawah tahanan pentadbiran.

Menurut Al Jazeera lagi, tentera Israel mengakui askar dan komander terbunuh dan tawanan perang telah diambil, tetapi tidak memberikan sebarang angka.

Pejuang Hamas melancarkan operasi terbesar yang tidak pernah berlaku dalam beberapa tahun ke atas Israel semalam, yang mengorbankan ratusan orang dan ribuan cedera.

Susulan serangan, Israel melancaran serangan udara balas dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata negara itu 'sedang berperang'.

Sementara itu, akaun media sosial Hamas menyiarkan rakaman video dikatakan sebagai tawanan Israel yang dipindahkan hidup-hidup ke Semenanjung Gaza.

Dalam pada itu, al-Arouri berkata, pertempuran itu untuk kebebasan dan akan bertempur habis-habisan, dengan menjangkakan ia akan berterusan.

"Kami mempunyai satu sasaran utama, kebebasan kami dan kebebasan tapak suci kami," katanya kepada Al Jazeera.

Menurutnya, rakyat Palestin berhak untuk mendapat kebebasan dan memerangi pendudukan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 11:05 AM