PASUKAN keselamatan Palestin mencari dan menyelamat mangsa dalam runtuhan bangunan akibat serangan Israel di Gaza awal pagi hari ini. FOTO AFP.
PASUKAN keselamatan Palestin mencari dan menyelamat mangsa dalam runtuhan bangunan akibat serangan Israel di Gaza awal pagi hari ini. FOTO AFP.
Agensi

Gaza: Pengeboman Israel ke atas Semenanjung Gaza memasuki hari ketujuh berturut-turut dengan serangan udara pada awal pagi ini mengorbankan sekurang-kurangnya empat penduduk Palestin dan puluhan lagi cedera selain kemusnahan dua bangunan kediaman.

Turut menjadi sasaran adalah rumah Ketua Hamas di Gaza, Yehya al-Sinwar yang mengetuai sayap ketenteraan dan politik kumpulan itu sejak 2017.

Wartawan Al Jazeera, Safwat al-Kahlout melaporkan, pesawat Israel melakukan 150 serangan udara di Semenanjung Gaza hari ini termasuk 60 di bandar.

Pasukan kecemasan percaya ada keluarga yang terperangkap dalam runtuhan kediaman, sementara Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan ramai penduduk tiba di hospital dengan kecederaan.

Di Tel Aviv yang dijajah Israel, orang ramai bergegas mencari tempat perlindungan selepas siren dibunyikan sebagai amaran tembakan roket oleh Hamas.

Susulan itu, tentera Israel melancarkan sistem pertahanan udara 'Iron Dome' untuk memintas roket Hamas.

Pelepasan roket berkenaan berlaku beberapa jam selepas peluru berpandu Hamas membedil kem pelarian di sini, yang mengorbankan 10 penduduk Palestin termasuk lapan kanak-kanak, dan memusnahkan bangunan bertingkat yang turut menempatkan pejabat media antarabangsa termasuk Al Jazeera.

Berucap menerusi siaran televisyen, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berikrar akan terus menyerang Gaza 'selama yang perlu', sementara pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniya berkata, 'penentang tidak akan menyerah'.

Sekurang-kurangnya 148 penduduk Palestin termasuk 41 kanak-kanak di Gaza menjadi korban konflik itu sejak seminggu lalu, manakala 950 orang cedera dan sekurang-kurangnya 13 orang lagi maut di Tebing Barat.

Di jajahan Israel, 10 orang terbunuh dengan dua kematian dilapor pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 10:38 AM