PENDUDUK Palestin berlindung di sekolah PBB selepas melarikan diri dari utara Gaza. FOTO Reuters.
PENDUDUK Palestin berlindung di sekolah PBB selepas melarikan diri dari utara Gaza. FOTO Reuters.
Agensi

Gaza: Tentera Israel menunjukkan kekejamannya kepada dunia apabila melakukan serangan ketika ribuan penduduk Palestin melarikan diri ke selatan Gaza.

Rejim zionis itu sebelum ini memberi amaran kepada penduduk supaya mengosongkan kawasan utara sebelum serangan darat dimulakan semalam, sebagai balasan terhadap serangan Hamas

Namun mereka yang melarikan diri ke Khan Yunis di selatan Gaza tidak menemui 'keamanan' dicari selepas pesawat pejuang Israel mengebom bangunan empat tingkat yang mengorbankan dan mencederakan penduduk.

Berpuluh-puluh rakyat Palestin boleh dilihat bergegas menyelamatkan orang yang terperangkap di dalam runtuhan.

Sekurang-kurangnya 2,215 rakyat Palestin, termasuk 724 kanak-kanak telah terbunuh dan 8,714 yang lain cedera sejak konflik yang semakin memuncak.

Menurut Kementerian Kesihatan, dalam tempoh 24 jam sahaja, 324 rakyat Palestin telah terbunuh dan 1,000 yang lain cedera.

"Terdapat ribuan orang dan ribuan lagi masih datang selepas arahan Israel untuk berpindah ke Khan Yunis dan Rafah di selatan Gaza. Kedua-dua kawasan penuh dengan orang yang melebihi kapasiti, " wartawan Al Jazeera.

Menurutnya, Khan Yunis berhadapan kekurangan makanan dan minuman.

"Kami seperti ditutup daripada dunia," kata Youmna El Sayed yang memberitahu penduduk di bandar itu terbuka menerima mereka yang melarikan diri dari utara.

Sekurang-kurangnya 20 ke 30 orang tinggal di dalam setiap apartmen di kawasan berkenaan dan ramai lagi yang mencari-cari saudara serta rakan, bertanyakan jika masih ada ruang kosong.

"Saya berteduh di dalam apartmen bersama tiga keluarga," katanya.

Kira-kira 270,000 penduduk dari utara ditempatkan di 102 sekolah kendalian agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 1:37 PM