AHLI keluarga Abo Hatab menangisi pemergian saudara mereka di Hospital Al-Shifa yang terkorban akibat serangan udara Israel di kem pelarian al-Shati, awal pagi hari ini. FOTO AFP.
AHLI keluarga Abo Hatab menangisi pemergian saudara mereka di Hospital Al-Shifa yang terkorban akibat serangan udara Israel di kem pelarian al-Shati, awal pagi hari ini. FOTO AFP.
Agensi

Gaza: Pejuang Hamas mengecam 'pembunuhan beramai-ramai' di kem pelarian al-Shati, Gaza susulan serangan udara Israel pada awal pagi Sabtu.

Serangan itu mengakibatkan lapan orang terkorban setakat ini dan 15 lagi cedera.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem dalam kenyataan berkata, serangan itu disifatkan 'jenayah perang' yang dilakukan Israel terhadap Palestin.

"Jenayah ini mencerminkan ketidakupayaan penjajah menghadapi tentangan di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis," kata Qassem yang dilapor Al Jazeera.

Terdahulu, Hamas melepaskan tembakan roket ke arah tanah jajahan Israel sebagai balasan terhadap serangan udara rejim itu.

Roket dilepaskan memusnahkan bangunan di Ashdod, menurut Jerusalem Post, namun tiada laporan kecederaan sementara siaran awam Israel, Kann melaporkan roket turut dilepaskan ke arah Ashkelon dan Shephelah.

Sementara itu, bayi antara yang terselamat dalam serangan Israel di kem al-Shati menurut agensi Safa Press.

Wartawan Al Jazeera, Safwat al-Kahlout yang melaporkan dari Gaza berkata, sekurang-kurangnya 15 orang cedera dalam serangan itu dan lapan kematian membabitkan dua wanita dan enam kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya sembilan orang dipercayai terperangkap dalam bangunan tiga tingkat yang musnah.

Satu lagi serangan udara Israel pada Sabtu di kawasan kediaman di Khan Yunis, namun tiada kematian dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 12:17 PM