UMAT Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di luar Masjid Al-Aqsa. FOTO AFP
UMAT Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di luar Masjid Al-Aqsa. FOTO AFP
Agensi

Baitulmuqaddis: Ribuan penduduk Palestin berkumpul di pekarangan Masjid al-Aqsa di sini, hari ini bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Bagaimanapun, sambutan itu dicemari dengan keganasan apabila Israel meneruskan serangan udara sejak malam tadi yang menyasarkan wilayah diduduki rakyat Palestin di Gaza.

Seramai 69 orang termasuk 17 kanak-kanak dan lapan wanita menjadi korban di Gaza setakat pagi ini, manakala lebih 390 orang cedera.

Enam penduduk Israel termasuk tenteranya turut terbunuh dalam serangan roket Hamas.

Wakil Al-Jazeera, Safwat al-Kahlout berkata, penduduk Gaza tidak tidur kerana serangan bom berlaku di pelbagai lokasi.

"Kebanyakan penduduk Gaza berjaga. Dari semasa ke semasa kami hanya dengar bunyi letupan dan gegaran bangunan," katanya.

Terdahulu, sumber tempatan memaklumkan jet pejuang Israel mengebom pusat keselamatan Hamas selain bangunan polis yang turut mengorbankan pejuang kanan, komander Bassem Issa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 3:32 PM