GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

BUTEMBO: Seorang petugas kesihatan ditembak mati dalam serangan di sebuah hospital di timur bandar Butembo, Republik Demokratik Congo, semalam.

AFP yang memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, mangsa adalah seorang ahli epidemiologi yang dihantar bertugas untuk mengawal penularan wabak Ebola.

Serangan itu dipercayai dilakukan ketika sekumpulan pasukan petugas kesihatan sedang bermesyuarat di Hospital Universiti Butembo hingga menyebabkan dua lagi mangsa lain cedera namun dilaporkan stabil.

“Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mereka bermesyuarat sebelum ditembak penyerang.

“Seorang doktor yang juga ahli epidemiologi ditembak dan segera dihantar ke bilik kecemasan. Rakannya dilaporkan cedera. Mangsa yang juga warga Cameroon kemudiannya disahkan mati,” kata Datuk Bandar, Sylvain Kanyamanda.

Serangan itu adalah kejadian terbaru membabitkan pasukan petugas kesihatan yang bergelut hampir sembilan bulan untuk mengawal penularan wabak Ebola selepas meragut kira-kira 850 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 11:08 AM