ORANG awam melihat kesan kemusnahan di salah satu lokasi letupan di Mogadishu, Somalia. FOTO Reuters
ORANG awam melihat kesan kemusnahan di salah satu lokasi letupan di Mogadishu, Somalia. FOTO Reuters
BERNAMA

Mogadishu: Sekurang-kurangnya 100 maut, manakala lebih 300 yang lain cedera selepas dua letupan bom kereta menyasarkan bangunan Kementerian Pendidikan Somalia pada Sabtu, menurut Presidennya Hassan Sheikh Mohamud pada Ahad.

Angka kematian dijangka meningkat.

Menurut polis, sebuah kenderaan sarat dengan bahan letupan merempuh bangunan kementerian itu disusuli bunyi tembakan. Satu lagi kejadian letupan dilaporkan berlaku di kawasan sama.

Mangsa korban termasuk wartawan dan anggota polis, kata jurucakap Pasukan Polis Somalia Sadiq Dudishe.

Kumpulan al-Shabaab yang dikaitkan dengan al-Qaeda mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Perdana Menteri Hamza Abdi Barre berkata, serangan al-Shabaab tidak akan menghalang komitmen kerajaan untuk membasmi keganasan.

Serangan berlaku ketika presiden Somalia dan pemimpin negara termasuk pegawai tertinggi keselamatan bermesyuarat untuk membincangkan operasi membanteras al-Shabaab.

Misi Peralihan Kesatuan Afrika di Somalia dalam satu kenyataan menggesa operasi ketenteraan diteruskan terhadap pemberontak bagi menghentikan serangan pengganas yang semakin meningkat di negara itu.

Serangan berlaku di lokasi sama insiden tragis pada Oktober 2017 apabila sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan meletup dan mengorbankan 587 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 8:54 PM