SEBUAH penjara di Beni. FOTO fail Reuters
SEBUAH penjara di Beni. FOTO fail Reuters
AFP

Kinshasa: Dua anggota polis terbunuh, manakala 800 banduan melarikan diri dalam satu kejadian serangan kumpulan pemberontak di sebuah penjara di timur Republik Demokratik Congo (DRC), Selasa lalu.

Jurucakap tentera di wilayah Beni, Kapten Antony Mualushayi berkata, lelaki bersenjata menyerang penjara pusat Kakwangura di bandar Butembo, tengah malam Selasa.

"Maklumat awal diketahui ialah dua anggota polis terbunuh serta seorang pemberontak turut terkorban," katanya kepada AFP.

Mualushayi mendedahkan, militan Daish mendakwa sekutu serantaunya - Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF) melakukan serangan itu.

"Pejuang ADF membebaskan 12 wanita ADF serta salah seorang pemimpin mereka yang berada dalam penjara," katanya.

Badan pemantau yang berpangkalan di AS, Kivu Security Tracker menerusi Twitter juga berkata, ADF melakukan serangan ke atas penjara itu.

Sumber dalam perkhidmatan penjara yang enggan dikenali berkata, 872 daripada banduan itu melarikan diri kecuali 49 orang.

Ketua Rangkaian Kumpulan Masyarakat Awam di Butembo, Mathe Saanane berkata, penduduk tempatan menawan tiga penyerang ADF dan merejam mereka (hingga mati) di tempat kejadian.

ADF dipersalahkan atas ribuan kematian di timur DRC terutama di kawasan Beni dan serangan di negara jiran, Uganda.

Bahagian timur DRC tidak stabil selama beberapa dekad.

Puluhan kumpulan bersenjata berkeliaran di rantau ini dengan kebanyakannya warisan dua peperangan serantau pada akhir abad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 10:29 AM