Hafiz Ithnin


PENGALAMAN suka melancong dan tinggal di inap desa yang selesa menjadi inspirasi kepada pemilik kediaman berkeluasan 850 kaki persegi ini untuk mempunyai sebuah inap desa yang serupa.

Meskipun ia bukan sebuah kediaman untuk dihuni, bagi Noor Maswati Masrol mempunyai kediaman serba 'berias' memberi kepuasan peribadi. Apatah lagi, dia sentiasa meletakkan dirinya sebagai seorang penyewa inap desa.

Sebaik sahaja mendapat kunci pada 2020, Noor Maswati sudah mempunyai idea untuk mempunyai sebuah kediaman inap desa yang berkonsepkan muji kerana melihat konsep itu sesuai dengan cita rasa peribadinya yang gemarkan sesuatu ruang yang ringkas tetapi mempunyai elemen tradisional memukau.

Noor Maswati berkata, meskipun kediaman itu bukan seratus peratus menerapkan konsep muji asli, ia menjadi asas dalam dekorasi kediaman miliknya yang dilengkapi tiga bilik tidur dua bilik air itu.

Katanya, antara elemen muji yang diterapkan adalah bermain dengan rona semula jadi yang tenang dan redup kerana ia mampu memberikan keselesaan apabila pengunjung masuk ke dalam kediamannya.

"Saya sememangnya gemar mengembara. Jadi, apabila melancong kediaman jenis inap desa menjadi pilihan dan pastinya saya mahukan sebuah kediaman yang seperti hotel.

"Apabila saya mempunyai kediaman ini, saya ingin menerapkan keselesaan seperti hotel yang selesa tetapi ia mempunyai satu konsep yang berbeza iaitu muji. Jadi, apabila orang menyewa kediaman ini mereka dapat merasakan kelainan suasana ketika menghuni," katanya.

Katanya, konsep muji yang diterapkan ialah bermain dengan konsep perabot kayu berona asli yang mampu menghidupkan dan menonjolkan perabot berkenaan di dalam persekitaran dinding berona lembut.

RUANG makan yang ringkas dan mempunyai elemen kayu oak.
RUANG makan yang ringkas dan mempunyai elemen kayu oak.

Jelasnya lagi, pemilihan perabot berwarna kayu juga sebenarnya lebih malar segar meskipun gaya dekorasi kediaman sentiasa berubah mengikut arus masa tertentu.

"Saya merasa puas apabila melantik pereka hiasan dalaman yang mampu menzahirkan konsep kediaman yang saya inginkan. Malah, mereka juga faham mengenai pemilihan warna dan perabot yang berteraskan konsep muji.

"Selain itu, pemilihan konsep muji yang lebih mengutamakan ringkas untuk mengisi perabot di dalam kediaman juga memberi kemudahan kepada saya untuk mengemas selepas disewa oleh tetamu," katanya.

Katanya, pereka hiasan dalaman hanya memberi sentuhan di ruang tamu dan makan sahaja. Manakala, bilik tidur dan ruang lain adalah sentuhan peribadi yang masih mempunyai kesinambungan dengan ruang utama dan makan berkenaan.

"Bagi saya kesinambungan warna dan pemilihan perabot adalah perkara paling penting kerana ia bagi memastikan dekorasi di dalam kediaman kelihatan harmoni dan tidak canggung apabila berada di dalam ruang yang berbeza.

CORAK gerbang dinding yang menjadi titik fokal di bahagian ruang tamu.
CORAK gerbang dinding yang menjadi titik fokal di bahagian ruang tamu.

"Antara elemen yang paling saya sukai adalah di ruang tamu kerana terdapat rekaan dinding yang dicat berbentuk separa gerbang yang menjadi titik fokal apabila saya melangkah masuk ke dalam kediaman itu," katanya.

Katanya, rona lembut di dalam kediaman yang sebati dengan konsep muji sebenarnya memberi kesan yang baik kepada kesan ruang kediaman. Apatah lagi, jika terdapat pencahayaan semula jadi pada sebelah siang.

"Apabila cahaya masuk ke dalam kediaman ini dan warna terkena kepada warna dinding yang lembut, kediaman saya tidak seberapa luas ini akan kelihatan luas. Jadi, pemilihan warna seperti itu amat membantu memberi kesan positif di dalam kediaman.

"Saya juga menerapkan warna dinding dan perabot yang lembut di dalam bilik kerana pada waktu siang, apabila berada di dalam bilik, ia akan kelihatan luas dan menonjolkan perabot serta aksesori yang ada di dalamnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:30 AM