HIASAN wainscoting dinding menjadi titik fokal di ruang makan.
HIASAN wainscoting dinding menjadi titik fokal di ruang makan.
Hafiz Ithnin


Bagi pasangan guru ini, dekorasi bukan terletak pada perbelanjaan yang tinggi untuk menonjolkan prestij kediaman semata-mata tetapi kebijaksanaan dalam mengolah dan mengadunkan elemen di dalamnya adalah kunci utama.

Melihat kediaman milik pasangan suami isteri, Mohamad Zahran Halil dan Nurul Farehah Nasir ini, penulis sendiri merasa kagum dan bermain dengan teori bahawa aktiviti pengubahsuaian dan dekorasinya pasti menelan kos yang agak tinggi.

"Sebenarnya tidak sampai RM20,000 kos keseluruhan bagi menghias dan kerja-kerja pengubahsuaian," jelas Nurul Farehah kepada penulis tatkala ditanya mengenai kos yang dikeluarkan untuk tujuan itu.

Katanya, sekitar enam bulan sebelum mendapat kunci kediaman, dia dan suami sudah membuat perancangan awal dari segi pemilihan warna kediaman, hiasan serta kerja-kerja pengubahsuaian.

Tambahnya, persediaan awal penting bagi memastikan kos yang dibelanjakan sesuai dengan kemampuan poket peribadi.

"Pertama sekali apabila melihat unit kediaman ini, kami sudah menilai terlebih dahulu mengenai sistem pencahayaan ruang.

"Kedua, mengenai saiznya supaya penataan ruang dalaman sesuai dengannya. Tambahan pula, saya dan suami tidak gemarkan hiasan dalaman yang terlalu sarat. Selain itu, buat banyak rujukan di pelbagai sumber terutama di media sosial," katanya.

Ternyata strategi yang dilakukan mereka tepat kerana unit kediaman itu turut menerima kemasukan cahaya matahari dan pengaliran udara sempurna.

Justeru, pemilihan warna monokrom seperti hitam, putih dan coklat lembut, bukan sahaja menjadikan ruang kediaman itu kelihatan tenang, malah lebih luas.

RUANG tamu kediaman didominasi rona monokrom.
RUANG tamu kediaman didominasi rona monokrom.

Katanya, pemilihan rona dinding paling penting kerana kediaman mereka hanya mempunyai keluasan 850 kaki persegi. Sekiranya silap memilih warna, ruangnya pasti kelihatan lebih sempit.

"Walaupun secara asasnya, warna gelap dikatakan mampu menjadikan sesuatu ruang itu tampak kecil tetapi kita perlu bijak mengadunkan dengan warna lembut yang lain.

"Misalnya di ruang tamu saya, rona hitam itu hanya berada di dinding yang menempatkan televisyen sahaja dan selebihnya adalah warna lembut supaya rona gelap itu hanya menjadi titik fokal pada dinding utama," katanya.

Katanya, kerja-kerja penataan atau dekorasi kediaman itu banyak dilakukan sendiri untuk menjimatkan perbelanjaan.

RUANG balkoni yang mempunyai tanaman hijau.
RUANG balkoni yang mempunyai tanaman hijau.

"Contohnya, hampir 40 peratus perabot saya banyak beli secara dalam talian dan suami memasangnya sendiri. Selain itu, hiasan panel dinding ('wainscoting') di ruang makan turut dipasang sendiri.

"Bagi saya dalam menghias kediaman kita tidak perlu berbelanja besar sekiranya tahu perkara yang diinginkan dan rajin mencari pilihan terbaik dalam pembelian yang kini hanya di hujung jari sahaja," katanya.

Katanya, pemilihan warna monokrom juga bersifat 'lestari' kerana ia mudah untuk diadunkan dengan pelbagai rona perabot.

"Ketika ini, perabot di kediaman saya banyak berwarna gelap. Jika pada masa depan, sekiranya selera untuk merubah warna perabot yang berwarna gelap tidak perlu menukar rona cat kerana ia boleh serasi," katanya.

Ditanya mengenai inspirasi menghias kediaman kata Nurul Farehah, dia dan suami banyak merujuk laman sosial yang berkaitan dengan idea dekorasi selain kerap mengunjungi kediaman pameran.

MOHAMAD Zahran dan Nurul Farehah meminati konsep kediaman monokrom, maninal dan moden.
MOHAMAD Zahran dan Nurul Farehah meminati konsep kediaman monokrom, maninal dan moden.

"Pada masa sama, saya juga menyertai sebuah komuniti di media sosial yang membawa pengikutnya untuk membuat tinjauan kediaman yang menarik.

"Jadi, dari situ saya dan suami mula menggarap segala inspirasi itu menjadi satu idea baharu untuk kediaman kami yang boleh dikatakan moden, monokrom dan minimal," katanya.

Meskipun bertemakan moden, pasangan itu juga sebenarnya bijak memasukkan elemen tradisional di dalam hiasan dalaman kediaman itu.

Antara yang menarik perhatian penulis ialah permaidani bulat dan beberapa aksesori anyaman yang ternyata serasi dengan konsep kediaman.

Selain itu, pasangan itu juga bijak menjadikan rona di dalam kediaman sentiasa mempunyai kesinambungan untuk setiap ruang.

Misalnya, jika di ruang tamu dan makan rona hitam menjadi titik fokal, tetapi di dapur warna putih mendominasi kerana lantainya sudah berwarna kelabu gelap.

Katanya, kesinambungan rona untuk setiap ruang juga penting kerana jika wujud warna yang tidak serasi, ia akan kelihatan tidak begitu serasi.

"Di dalam setiap bilik juga kami menggunakan warna monokrom termasuk kertas hiasan abstrak dinding di bilik tidur utama.

"Malah, hiasan dinding seperti foto juga kami menggunakan rona hitam putih kerana ia mampu menonjolkan cita rasa yang klasik dan prestij walaupun sebenarnya bingkai gambar itu dibeli di kedai RM2 sahaja," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 7:00 AM