DEKORASI gaya muji yang minimalis.
DEKORASI gaya muji yang minimalis.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

FOKUS

[email protected]

Jika meletakkan terlalu banyak barang, kediaman pasti kelihatan serabut andai terlalu sedikit perabotnya, rumah pula akan tampak kosong. Jadi, perlu ada keseimbangan dalam memilih dan mengatur barangan kelengkapan bagi memastikan kediaman selesa untuk didiami.

Dalam memilih dan menyusun atur kelangkapan rumah, idea dekorasi gaya muji boleh dipraktikkan kerana ia bukan sahaja minimalis malah menyerlahkan nilai estetika yang elegan, menepati falsafah gaya Muji itu sendiri iaitu 'kurang dianggap lebih.'

Pereka dalaman dari Azri Design Architect, Farah Najiha Mohamad Yahya berkata, berdasarkan falsafah dekorasi gaya Muji, semuanya perlu seimbang.

Katanya, idea Muji juga adalah mengenai memiliki perabot berkualiti tinggi dan direka dengan baik yang akan bertahan untuk meningkatkan intipati sebenar kehidupan zen.

"Selain itu, bahagian dalam rumah harus terbuka untuk fleksibiliti dan boleh menyesuaikan diri dengan perubahan gaya hidup serta keperluan seluruh keluarga.

"Istilah 'muji' bagaimanapun bukan sekadar nama jenama, ia dikatakan berasal dari bahasa Jepun iaitu 'mujirushi,' yang bermaksud barangan tanpa jenama.

"Pada asasnya, ia adalah konsep 'kurang lebih' dan reka bentuk yang mudah," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Farah Najiha lagi, aspek utama dalam idea gaya muji adalah reka bentuk yang bersih dan kemas, perabot berkualiti dan direka dengan praktikal serta boleh menyesuaikan diri dengan cepat mengikut keperluan yang berubah-ubah.

Ia juga perlu mudah untuk mengatur hiasan dan memerlukan ruang lapang serta sedikit sentuhan kehijauan seperti tumbuh-tumbuhan.

GAYA dekorasi kediaman ringkas yang menjadi pilihan ramai.
GAYA dekorasi kediaman ringkas yang menjadi pilihan ramai.

"Untuk menghasilkan dekorasi kediaman gaya muji yang minimalis, warna tidak terlalu terang seperti neon adalah pilihan utama.

"Selain itu, pilihlah rona yang menenangkan dan selesa pada mata seperti putih, krim, kelabu, khaki atau hijau zaitun supaya mudah disesuaikan dengan barangan minimalis.

"Konsep gaya muji yang minimalis itu sememangnya semakin menjadi pilihan ramai," katanya.

Dalam pada itu, mengenai penggayaan lampu dalam konsep kediaman gaya berkenaan Farah Najiha berkata, reka bentuk m uji dipelopori dengan elemen pelbagai fungsi yang ringkas dan praktikal.

Kata Farah Najiha, susun aturnya membenarkan banyak cahaya semula jadi masuk ke dalam rumah, sekali gus menjadikan ruang kelihatan meriah dan lebih besar daripada yang sebenarnya.

SUSUN letak barangan perabot di dapur turut praktikal.
SUSUN letak barangan perabot di dapur turut praktikal.

Katanya, memasang lebih banyak tingkap memerlukan kos yang mahal, tetapi alternatif lebih baik adalah dengan mencipta ilusi cahaya semula jadi dengan menggunakan warna-warna semula jadi seperti kelabu, putih atau kuning pada dinding untuk melantun cahaya.

"Perlu diingat, elakkan menghalang aliran cahaya dengan perabot dan mungkin juga boleh ditambahkan cermin pada kediaman," katanya.

Mengenai pemilihan perabot pula Farah Najiha berkata, gaya muji tidak menerapkan penggunaan perabot yang banyak kerana masyarakat Jepun lebih memilih perabot dan dekorasi yang praktikal, semula jadi, klasik serta fleksibel untuk digunakan semula dari masa ke masa.

"Selaras dengan gaya minimalis, pilih perabot dari kayu yang ringan seperti bic dan oak dipadankan dengan fabrik kain linen atau kain kapas untuk langsir, katil atau permaidani.

"Sebaiknya, gunakan perabot yang dapat bertahan lama," katanya. Jelas Farah Najiha lagi, konsep muji itu sesuai diserlahkan pada rumah-rumah yang bersaiz kompak di mana konsepnya lengkap dan praktikal digayakan, dari segi susun atur perabot ia juga cukup sempurna untuk ruang terhad.

Konsep itu menjadikan ruang kurang serabut dan kelihatan lebih tersusun dan tidak kelihatan sempit.

RUANG tamu yang elegan dan selesa inspirasi gaya muji.
RUANG tamu yang elegan dan selesa inspirasi gaya muji.

Kata Farah Najiha, konsep muji sesuai untuk golongan muda dan berkeluarga kerana ia menitikberatkan keseimbangan, keselesaan dan kesempurnaan.

Katanya, konsep minimalis menjadi pilihan sebahagian pilihan rakyat Malaysia kerana ia mudah dijaga dan senang disesuaikan mengikut ruang atau keadaan.

"Bagi yang ingin menghias rumah, pastikan pemilihan konsep dan susun atur perabot adalah sesuai dengan pelan lantai rumah anda.

"Pemilihan warna dinding juga memainkan peranan penting untuk memastikan ruang di dalam rumah tampak lebih luas manakala hiasan dinding, seperti cermin, bingkai gambar dan pokok di dalam rumah akan menaikan lagi seri kediaman anda," katanya.

Malah beliau turut menyarankan pemilik kediaman memilih material yang berkualiti dan tahan lasak supaya dapat digunakan untuk jangka masa lama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 7:00 AM