DINDING kesan bata menjadi titik fokal di ruang tamu.
DINDING kesan bata menjadi titik fokal di ruang tamu.
Hafiz Ithnin


TIGA konsep berbeza tetapi disatukan dalam sebuah kediaman. Perkara itu bukan mudah tetapi ia mampu diterjemahkan oleh pasangan suami isteri ini untuk mendiami ruang privasi mereka yang cukup selesa.

Malah, mereka tidak menggunakan khidmat juruhiasan dalaman profesional. Segala-galanya dihias mengikut cita rasa sendiri.

Bagi pemilik kediaman teres dua tingkat itu, Nadia Ishak dan suaminya, Norazmi Awang menggabungkan tiga konsep iaitu

farmhouse, tradisional dan moden bukan sesuatu yang mustahil dalam menghias kediaman jika bijak mencari titik fokal.

Jelas Nadia, perkara paling utama ialah perlu tahu mengenai rona dinding yang mampu memberi kesinambungan dengan aksesori dan perabot.

Katanya, enam bulan pertama sebelum mendiami kediaman itu, medium sosial media menjadi rujukan untuk mencari ilham.

"Suami gemarkan sesuatu yang kelihatan tradisional dan maskulin. Manakala, saya seorang yang sukakan elemen moden.

"Jadi, kami melihat bahagian di dalam rumah yang mana lebih didominasi saya dan suami supaya pemilihan perabot serta aksesori lebih sesuai dengan cita rasa peribadi," katanya.

Nadia berkata, dia lebih gemar berada di dapur jadi bahagian itu sudah tentu mendapat sentuhan yang lebih kepada cita rasanya.

ADUNAN konsep moden dan klasik di ruang tamu.
ADUNAN konsep moden dan klasik di ruang tamu.

PERABOT dan aksesori di ruang makan mempunyai kesinambungan dengan rona perabot di dapur.
PERABOT dan aksesori di ruang makan mempunyai kesinambungan dengan rona perabot di dapur.

"Manakala di bahagian ruang tamu biasanya menjadi tempat santai suami, jadi di bahagian itu pemilihan perabot dan rona mengikut cita rasa suaminya," katanya.

Nadia berkata, warna dinding menjadi perkara paling penting untuk menjadikan setiap ruang lebih tampak mempunyai kesinambungan. Justeru, rona lembut menjadi pilihan.

"Di ruang tamu saya dan suami sepakat memilih warna coklat lembut kerana ia mudah untuk dipadankan dengan perabot yang mempunyai warna lebih menonjol.

"Sofa tiga tempat duduk kami berwarna hijau, terdapat dua kerusi rotan serta sofa dua tempat duduk berwarna kelabu lembut," katanya.

Jelasnya, meskipun di ruang tamu menjadi tempat yang 'didominasi' suaminya tetapi ia masih mendapat sentuhan moden terutama apabila diletakkan sofa tiga tempat duduk itu yang kelihatan serasi apabila berada bersama sepasang kerusi rotan.

"Bagi saya paling utama ialah kita perlu bijak dalam memainkan warna di dalam sesuatu ruang iaitu dinding, perabot dan aksesori.

"Apabila memilih warna yang betul, ia akan kelihatan serasi walaupun mempunyai pelbagai konsep di dalam satu ruang yang sama," katanya.

BILIK tidur turut mempunyai elemen tradisional.
BILIK tidur turut mempunyai elemen tradisional.

KABINET dapur yang berunsurkan reka bentuk klasik.
KABINET dapur yang berunsurkan reka bentuk klasik.

Katanya, konsep tradisional yang cuba ditonjolkan suami juga boleh dilihat ruang makan apabila perabot dan aksesori kayu menjadi pilihan.

"Di ruang makan, kami memilih dinding berona putih supaya apabila perabot yang berwarna kayu mudah nampak menonjol apabila berada di ruang itu.

"Kabinet dapur pula adalah berona kayu dengan mempunyai ukiran tradisional. Ruang dapur dan makan berada dekat. Jadi, ia juga perlu mempunyai kesinambungan dari segi warna dan perabot," katanya.

Ditanya mengenai kos yang dikeluarkan untuk menghias kediaman mereka Nadia berkata, dia berbelanja mengikut kemampuan.

"Sekarang ini kita lebih mudah untuk mencari perabot dan barangan rumah secara dalam talian. Jadi, apabila mempunyai bajet saya akan beli.

"Selain itu, apabila rajin mencari barangan secara dalam talian kita juga mudah untuk membuat perbandingan harga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 7:01 AM