PANEL hiasan dinding berbentuk gerbang di belakang sofa menambah hiasan berbentuk dimensi di dinding.
PANEL hiasan dinding berbentuk gerbang di belakang sofa menambah hiasan berbentuk dimensi di dinding.
Hafiz Ithnin


GEMBIRA tidak terkata pemilik rumah bersaiz 870 kaki persegi ini sebaik sahaja menyelak daun pintu, konsep dekorasi idaman menjadi kenyataan.

Hampir dua bulan sebelum mendapat kunci, Farah Afiqah Muhammad, 32, meninjau cita rasa yang sesuai untuk penataan rumahnya itu.

Akhirnya dia jatuh hati tatkala melihat konsep muji iaitu hiasan dalaman rumah yang membawa falsafah ringkas dan bermain dengan warna alam yang lembut mencerminkan alam semula jadi berasal dari Jepun.

Memandangkan Farah mempunyai jadual yang agak padat dengan komitmen diri terutama membabitkan kerjaya, dia memilih untuk menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman profesional.

"Selepas saya mendapat kunci, kira-kira dua bulan juga saya mencari pereka hiasan dalaman untuk mendekorasi rumah bersandarkan inspirasi yang diidamkan iaitu konsep muji.

"Akhirnya saya bertemu pereka dalaman yang mempunyai pengalaman dalam pelbagai konsep rumah termasuk muji.

"Tentunya selain daripada kualiti yang diambil kira, saya perlu melihat kepada tawaran harga yang sesuai dengan bajet peribadi," katanya.

Jelas Farah, selepas dia mengadakan rundingan termasuk mendapat harga yang dipersetujui, dia memberi kepercayaan kepada pereka dalaman itu untuk menata hias rumahnya di bahagian ruang tamu, bilik utama dan ruang makan.

AKSESORI dinding di belakang televisyen mewujudkan titik fokal yang mewah di ruang tamu.
AKSESORI dinding di belakang televisyen mewujudkan titik fokal yang mewah di ruang tamu.

RUANG makan yang kecil, tetapi mampu memuatkan enam orang pada satu-satu masa.
RUANG makan yang kecil, tetapi mampu memuatkan enam orang pada satu-satu masa.

"Dalam perbincangan itu saya jelas memaklumkan kepada pereka dalaman mengenai konsep muji yang diinginkan kerana dalam rumah saya ini mempunyai kabinet dapur dan almari baju di bilik utama berona kayu.

"Jadi, ia memudahkan pereka hiasan dalaman menggabungkan rona perabot, cat dinding dan aksesori yang mempunyai warna seimbang dengan perabot sedia ada itu," katanya yang membelanjakan RM30,000 bagi mendekorasi rumah itu.

Jelasnya, warna memainkan peranan penting dalam konsep muji kerana rona lembut alam semula jadi menjadi sandaran utama menghidupkan konsep berkenaan.

"Pereka hiasan dalaman saya menggunakan dua warna utama di ruang tamu iaitu putih, coklat lembut dan kelabu lembut di dinding kerana ia boleh memberi kesan kepada ruang lebih luas. Rona seperti ini penting bagi rumah saya memandangkan ia tidak begitu luas.

"Apabila gabungan warna itu disesuaikan bersama kesan pencahayaan lampu siling berona jingga separa panas, ia turut memberi kesan mewah dan luas di ruang tamu," katanya.

Sesuai dengan konsep yang dipilih, rumahnya yang terletak di Sepang, Selangor itu turut diadunkan dengan perabot ringkas berona kayu oak, putih dan kelabu lembut.

Katanya, meskipun warna perabot dan dinding mempunyai persamaan, tetapi susunan perabot di dinding yang mempunyai rona berlawanan mampu memberi kesan baik, seimbang dan mempunyai kesinambungan.

"Bagi menghidupkan lagi kesan dimensi dalam ruang tamu, pereka hiasan dalaman saya juga menggunakan aksesori hiasan dinding yang menarik seperti terdapat panel kayu yang dipasang berbentuk gerbang di belakang sofa.

BILIK tidur utama mempunyai kesinambungan rona dengan ruang tamu.
BILIK tidur utama mempunyai kesinambungan rona dengan ruang tamu.

RUMAH Farah Afiqah sebelum aktiviti dekorasi dilakukan.
RUMAH Farah Afiqah sebelum aktiviti dekorasi dilakukan.

"Bukan sekadar itu, ada juga hiasan di belakang televisyen yang mempunyai rekaan panel 'board laminated terazzo.' Ia sekali gus menjadi titik fokal apabila berada di ruang tamu," katanya.

Bercerita mengenai perabot, Farah berkata, rumahnya tidak mempunyai perabot yang banyak, namun mementingkan fungsi.

"Contohnya, di ruang tamu pereka hiasan dalaman meletakkan perabot simpanan barang yang turut berfungsi sebagai bangku bersaiz besar.

"Selain itu, di sebelahnya juga ada cermin panjang yang memudahkan untuk bersiap sebelum keluar rumah. Cermin itu juga memberi kesan luas dalam rumah saya," katanya.

Pada awalnya, rekaan rumahnya tidak mempunyai penghadang antara ruang makan dan dapur. Justeru, dia meminta pereka hiasan dalaman membina kabinet peti sejuk yang disambungkan dengan sebuah kabinet lain. Ia sekali gus menjadi pemisah antara kedua-dua ruang berkenaan.

Jelasnya lagi, kabinet yang menjadi pemisah itu juga mempunyai ruang simpanan barangan terutama peralatan di dapur.

"Di ruang makan pula, pereka hiasan dalaman tidak meletakkan meja yang besar kerana ruang itu tidak begitu besar. Namun, ia boleh memuatkan enam orang untuk makan bersama.

"Pada saya, satu kepuasan dapat melihat ruang yang mempunyai saiz terhad, tetapi lengkap dengan pelbagai barangan yang mempunyai fungsi untuk didiami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 7:01 AM