RUANG tamu yang kelihatan luas.
RUANG tamu yang kelihatan luas.
Hafiz Ithnin


KUASA konsep hiasan dalaman sememangnya mempengaruhi keadaan di dalam rumah seperti yang diinginkan si pemilik.

Pastinya, pemilihan konsep yang tetap amat penting supaya ia bukan sahaja memberi keselesaan pada pandangan mata malah bersifat malar segar.

Bagi wanita berusia 33 tahun ini, pemilihan konsep Muji yang begitu popular di Jepun dan Korea sememangnya membantu menjadikan kediaman berkeluasan 803 kaki persegi miliknya sekeluarga tampak luas.

Malah, Nurlailah Abdul Aziz itu juga melihat Muji yang mengamalkan konsep kewujudan perabot dan aksesori ringkas memberi lebih banyak ruang di dalam kediaman.

"Saya sudah lama mengimpikan sebuah kediaman yang ringkas tetapi mempunyai aura tersendiri. Jadi sebelum masuk ke kediaman yang saya dan suami beli pada Oktober 2018, saya sudah mencari ilham di sosial media mengenai konsep kediaman yang boleh diterapkan.

"Ketika membuat tinjauan di sosial media dan menonton beberapa filem Korea dan Jepun, saya melihat kebanyakan kediaman mereka begitu ringkas tetapi mempunyai keunikan tersendiri. Jadi, saya membuat sedikit bacaan dan ia adalah konsep Muji," katanya.

Jelasnya lagi, konsep Muji bermain dengan rona lembut dan alam semula jadi seperti coklat lembut, putih dan krim. Rona seperti itu sememangnya mudah untuk disatukan dengan warna perabot yang diinginkan.

"Malah, perabot untuk kediaman berkonsep Muji ini adalah ringkas tetapi mempunyai fungsi tersendiri sesuai dengan cita rasa saya yang tidak memilih sesuatu yang sarat di dalam ruang kediaman.

MEMPUNYAI wainscoting yang menjadi hiasan tepi dinding.
MEMPUNYAI wainscoting yang menjadi hiasan tepi dinding.

"Selain itu, aksesori dan perabot juga berteraskan warna-warna lembut menjadikan kami sekeluarga terasa tenang apabila berada di dalam kediaman. Apatah lagi, kuasa kelembutan rona menjadikan ruang di dalam kelihatan lebih luas," katanya.

Idea dekorasi gaya Muji boleh dipraktikkan kerana ia bukan sahaja minimalis malah menyerlahkan nilai estetika yang elegan, menepati falsafah gaya muji itu sendiri iaitu 'kurang dianggap lebih.'

Idea Muji juga adalah mengenai memiliki perabot berkualiti tinggi dan direka dengan baik yang akan bertahan untuk meningkatkan intipati sebenar kehidupan zen.

Selain itu, bahagian dalam rumah harus terbuka untuk fleksibiliti dan boleh menyesuaikan diri dengan perubahan gaya hidup serta keperluan seluruh keluarga.

SET Sofa yang lebih lembut rona menjadikan ruang tampak tenang.
SET Sofa yang lebih lembut rona menjadikan ruang tampak tenang.

Istilah Muji bagaimanapun bukan sekadar nama jenama, ia dikatakan berasal dari bahasa Jepun iaitu 'mujirushi,' yang bermaksud barangan tanpa jenama. Pada asasnya, ia adalah konsep 'kurang lebih' dan reka bentuk yang mudah.

Aspek utama dalam idea gaya Muji adalah reka bentuk yang bersih dan kemas, perabot berkualiti dan direka dengan praktikal serta boleh menyesuaikan diri dengan cepat mengikut keperluan yang berubah-ubah.

Ia juga perlu mudah untuk mengatur hiasan dan memerlukan ruang lapang serta sedikit sentuhan kehijauan seperti tumbuh-tumbuhan.

Nurlailah berkata, untuk mendekorasi kediaman berkonsepkan Muji, dia memulakan dari dapur terlebih dahulu kerana ruang itu dilihat mempunyai perabot yang lebih menonjol iaitu kabinet.

RONA set meja makan yang mempunyai kesinambungan dengan warna rumah.
RONA set meja makan yang mempunyai kesinambungan dengan warna rumah.

Jelasnya, kabinet dapurnya juga mempunyai warna coklat lembut supaya lebih mudah untuk mempunyai kesinambungan dengan rona kediaman di ruang yang lain.

"Dari segi perabot dan aksesori di dapur saya memilih untuk mempunyai tempat simpanan yang lebih praktikal supaya tidak perlu mempunyai perabot tambahan lain untuk menyimpan barang keperluan di dapur.

"Ketika ini banyak bekas simpanan yang praktikal boleh dimiliki dengan harga mampu milik dan begitu banyak pilihan ketika saya membeli belah secara dalam talian," katanya.

Di ruang tamunya, Nurlalilah memasang sendiri panel dinding ('wainscoting') supaya ia menjadi sebuah titik fokal di ruang berkenaan dan ternyata sentuhan itu menjadi perhatian tetamu yang bertandang di kediamannya.

ANTARA bekas simpanan makanan yang menarik.
ANTARA bekas simpanan makanan yang menarik.

"Boleh dikatakan banyak kerja-kerja mendekorasi kediaman saya lakukan sendiri termasuk pemasangan wainscoting. Walaupun saya dan suami bukanlah golongan yang profesional dalam hiasan dalaman tetapi pada hari ini banyak peralatan dekorasi yang boleh dilakukan sendiri yang dijual dalam talian," katanya.

BILIK anak-anak dilengkapi dengan sudut belajar.
BILIK anak-anak dilengkapi dengan sudut belajar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 6:20 AM