AKSESORI dan almari berkonsep rustic.
AKSESORI dan almari berkonsep rustic.
Hafiz Ithnin


Perancangan awal dalam melakukan aktiviti pengubahsuaian kediaman membabitkan ruang dalaman ternyata mampu memberi kesan baik kepada pemilik.

Ia bukan sahaja dapat membuat pengiraan kos yang lebih efektif, malah membantu pemilik mendapatkan hiasan dalaman yang diimpikan mereka.

Bagi pasangan suami isteri, Imran Azhar, 33, dan Nur Aliah Wahadi, 31, mereka sudah merancang 10 bulan lebih awal untuk mempunyai hiasan dalaman yang diimpikan selama ini.

Ternyata, dalam tempoh 10 bulan itu pelbagai idea yang diadunkan supaya tampak serasi dengan kesesuaian kediaman dalam segmen banglo satu tingkat berkeluasan 1,400 kaki persegi itu.

KEDIAMAN banglo setingkat yang mempunyai hiasan dalaman menarik.
KEDIAMAN banglo setingkat yang mempunyai hiasan dalaman menarik.

Imran berkata, kediaman itu yang dibina sendiri di Beranang, Selangor memberi kelebihan untuk mempunyai hiasan dalaman mengikut cita rasa peribadi.

Jelasnya, kediaman mereka yang bermain rona putih dan alam semula jadi itu dilihat begitu serasi dengan lokasinya yang dikelilingi alam semula jadi.

Malah, tambahnya rona putih yang mendominasi kediaman memberi kesan lebih baik kepada pencahayaan di dalam ruang supaya tampak lebih luas.

"Kami boleh katakan kediaman ini interpretasi pelbagai konsep yang dimodenkan seperti elegan, 'American Classic' dan 'rustic.'

"Campuran idea ini kami cuba untuk menjadikannya senada walaupun ia tidak mempunyai satu konsep hiasan dalaman yang sama," katanya.

PEMILIHAN rona perabot dan dinding yang didominasi putih.
PEMILIHAN rona perabot dan dinding yang didominasi putih.

Melangkah masuk ke kediaman pasangan itu, secara peribadi memberi ketenangan kepada penulis kerana ia cukup harmoni dari segi pemilihan dan susunan perabot, warna dinding serta pemilihan rona yang menjadi fokal apabila berada di sesuatu ruang.

Misalnya, ketika berada di ruang tamu, warna perabot dan lantai serta dinding yang dilihat senada dalam elemen semula jadi, hanya meja kopi berwarna biru gelap menjadi titik fokal.

Begitu juga dengan pemilihan corak di dalam kediaman tidak kelihatan serabut kerana pemilik kediaman itu begitu bijak menjadikannya seakan-akan mempunyai kesinambungan meskipun tidak sama antara satu sama lain.

MEJA kopi berona biru gelap menjadi titik fokal di ruang tamu.
MEJA kopi berona biru gelap menjadi titik fokal di ruang tamu.

Contohnya ketika berada di ruang dapur, corak jubin 'table island' mempunyai corak abstrak berona kelabu pudar dan jubin yang menjadi fungsi 'flash wall' adalah geometri.

Namun, dominasi rona putih menjadikannya mempunyai kesinambungan yang baik dan tidak kelihatan canggung meskipun terdapat perbezaan corak.

LAMPU siling yang ringkas tetapi unik.
LAMPU siling yang ringkas tetapi unik.

Imran berkata, pemilihan warna putih dan semula jadi yang mendominasi pelbagai ruang turut memberi ketenangan tersendiri.

"Bagi saya, pemilihan warna amat penting sama ada untuk dinding atau perabot kerana ia mampu memberi kesan kepada hiasan dalaman.

"Jadi, untuk saya dan isteri kami inginkan sesuatu yang tenang. Maka, pemilihan rona itu dilihat begitu sesuai dengan cita rasa peribadi," katanya.

GABUNGAN corak jubin yang berbeza tetapi mempunyai kesinambungan.
GABUNGAN corak jubin yang berbeza tetapi mempunyai kesinambungan.

Katanya, dari segi susunan perabot juga mereka tidak memilih untuk kelihatan begitu sarat kerana ia turut memberi kesan kepada saiz ruang.

"Selain itu, saya juga menggunakan cermin sebagai elemen yang mampu memberi pantulan cahaya yang baik di dalam kediaman.

"Malah, hiasan di dinding juga tidak terlalu sarat," katanya.

Katanya, mereka juga menggemari konsep 'rustic' dengan menyuntik beberapa elemen seperti perabot dan aksesori yang diimport dari Indonesia.

TURUT mempunyai hiasan ‘fire place’.
TURUT mempunyai hiasan ‘fire place’.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 6:30 AM