PELARI 400 meter (m) lelaki negara Umar Osman. FOTO Reuters
PELARI 400 meter (m) lelaki negara Umar Osman. FOTO Reuters
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari 400 meter (m) lelaki negara Umar Osman mengakui perlu bekerja keras jika mahu mencipta sensasi dengan layak ke pentas final Sukan Asia Hangzhou di China, September depan.

Atlet yang mencipta sensasi pada temasya Sukan Sea Kemboja itu berkata, untuk merealisasikan impian berkenaan dia perlu memecahkan rekod kebangsan miliknya bagi mengintai tiket beraksi di final.

"Kalau saya tengok sebelum ini, rata-rata yang masuk final semuanya lari di bawah 46 saat, hanya ada seorang saja lari 46s.

"Jadi, saya perlu melipat gandakan usaha dan bekerja keras dalam latihan saya. Saya perlu berikan komitmen yang tinggi dari segi masa dan tenaga untuk saya bersaing dengan pelari antarabangsa," katanya.

Sebagai rekod, Umar adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 46.34s yang dilakukan ketika memenangi pingat emas Sukan Sea Kemboja, Mei lalu.

Berdasarkan keputusan Sukan Asia 2018 di Jakarta, atlet Qatar, Abdalelah Haroun yang memenangi emas melakukan catatan 44.89s diikuti pelari India, Muhammed Anas perak (45.69s) dan Ali Khamis dari Bahrai meraih gangsa (45.70s).

Selain itu, pelari berusia 20 tahun itu berkata, temasya Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) di Chengdu, China yang bermula semalam akan menjadi kejohanan pemanas badan buat dirinya sebelum beraksi di Sukan Asia.

"Kalau saya dapat pecahkan rekod kebangsaan di UNIVERSIADE dikira bonus.

"Semua pesaing saya saya laju-laju dan inilah peluang untuk saya buat catatan masa yang lebih baik dan mungkin pecahkan rekod kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 12:12 PM