PELARI 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman. FOTO / Asrol Awang
PELARI 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman. FOTO / Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pelari 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman tidak mahu terlalu ghairah dalam usaha untuk memecahkan rekod kebangsaan.

Sebaliknya, pelari berusia 21 tahun itu lebih menumpukan kepada catatan masa dalam lingkungan 46 saat selepas baharu pulih daripada kecederaan.

"Sebelum ini, saya bergelut dengan kecederaan selama tujuh bulan dan semangat saya juga menurun tetapi kini sudah bersedia untuk kembali mencatat keputusan terbaik.

"Sebenarnya saya belum berada pada tahap 100 peratus dan tidak mahu terlalu memikirkan untuk mengatasi rekod kebangsaan.

"Sebab itu saya tidak terlalu ghairah mengejar masa, sebaliknya untuk memastikan catatan masa berada dalam masa 46s," katanya.

Umar ditemui selepas meraih tempat pertama 400m akhir pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, di sini hari ini.

Pelari kelahiran Johor itu mencatat masa 46.26s manakala tempat kedua atlet Sabah, Muhammad Khalil Helmi (47.60s) dan ketiga, Luqmanul Hakim Khairul Akma mewakili Angkatan tentera Malaysia (ATM) 47.92s).

Mengulas pencapaian itu, dia berpuas hati kerana melepasi sasaran catatan masa peribadinya.

Katanya, fokus utamanya ialah teknik larian dan kelajuan tanpa memikirkan kepada pelari lain.

"Selepas ini saya akan menumpukan pada Kejohanan Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Surabaya, Indonesia pada 26 Jun hingga 6 Julai depan.

"Sasaran utama untuk mendapat tempat pertama dan mencatat masa terbaik," katanya.

Untuk rekod, catatan terbaik Umar dalam acara 400m adalah 46.09s yang juga rekod kebangsaan dilakukan di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China pada Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:48 PM