SHEREEN mempamerkan larian bertenaga untuk memadamkan rekod 200m berusia 25 tahun. -FOTO WSU
SHEREEN mempamerkan larian bertenaga untuk memadamkan rekod 200m berusia 25 tahun. -FOTO WSU
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejayaan atlet olahraga wanita negara Shereen Samson Vallabouy mencipta sensasi dengan melebur rekod kebangsaan baru-baru ini adalah bukti sokongan dan bantuan sewajarnya mampu membantu wakil negara meraih keputusan luar biasa di pentas antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, dalam tempoh lapan bulan beliau berusaha menyelesaikan masalah melanda arena sukan tanah air terutama membabitkan atlet berpotensi dalam usaha meraih kejayaan positif untuk negara.

Beliau berkata, sokongan dan bantuan yang betul serta sistematik perlu diberikan segera kepada atlet negara supaya mereka mampu pergi jauh dalam acara masing-masing seterusnya membawa pulang kejayaan pada penyertaan di kejohanan antarabangsa.

"Saya hanya ada masa lapan bulan saja untuk dengar masalah daripada mereka dan seterusnya mencari jalan penyelesaian jangka pendek serta panjang.

"Kita akan dengar setiap masalah yang dihadapi atlet dan memberi sokongan yang betul seterusnya menjadi batu loncatan untuk mereka pergi jauh.

"Pada masa sama, kita boleh lihat Shereen, atlet 400 meter (m) negara, Umar Osman dan pelari pecut Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang berjaya mencipta kejayaan untuk Malaysia," katanya.

Sebelum itu, Shereen Samson Vberjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 200 m pada aksi final Kejohanan Olahraga Ed Murphey Classic 2023 di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat .

Dia mencatatkan masa 23.33 saat (s) sekali gus memadamkan rekod legenda olahraga negara, G Shanti, 23.37s yang dilakukan di Fukuoka, Jepun 25 tahun lalu.

Selain itu, Umar pula melaungkan amaran bahawa dia mampu untuk menjadi pelari terbaik negara apabila melakar kejutan di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China dengan dua kali memecahkan rekod kebangsaan miliknya.

Dia memecahkan rekod yang diciptanya ketika di Sukan Sea Kemboja 46.34 s apabila melakarkan 46.33s sebelum dia sekali lagi mempamerkan larian bertenaga untuk memadamkan rekod berkenaan dengan catatan 46.09s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 12:49 PM