AKSI Umar (kanan) pada saingan separuh akhir acara 400m di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China. Ihsan KPT
AKSI Umar (kanan) pada saingan separuh akhir acara 400m di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China. Ihsan KPT
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet olahraga negara, Umar Osman menyifatkan dirinya kini berada di landasan terbaik namun mengakui bahawa dia masih lagi belum puas untuk memburu catatan lebih pantas.

Umar yang memecahkan rekod sebanyak dua kali di Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China, berkata dia perlu berusaha lebih kuat lagi kerana ingin memiliki cita-cita mencatatkan masa di bawah 45 saat (s).

Hari ini atlet berusia 19 tahun itu membuktikan dia berada di kelas tersendiri dalam sukan olahraga negara apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan miliknya buat kali kedua selepas melakukannya semalam.

"Hari ini, saya kurangkan lagi (catatan masa), hampir 30 saat. Untuk dapatkan bawah 45 itu, saya perlu berusaha lebih gigih lagi daripada sebelum ini.

"Saya akan buat yang terbaik pada masa akan datang dan cuba yang yang lebih baik di Sukan Asia nanti," katanya.

Umar berjaya memecahkan tiga rekod kebangsaan tahun ini bermula ketika dia meraih emas di temasya Sukan Sea Kemboja apabila memadam rekod kebangsaan milik Zaiful Zainal Abidin 46.41s dengan catatan 46.34s.

Semalam dia mencatatkan rekod baru ketika beraksi dalam acara saringan dengan catatan 46.34s dan hari di peringkat separuh akhir, Umur sekali lagi mengganas apabila memperbaharui catatan itu dengan masa 46.09s.

Catatan baharu itu meletakkan dirinya untuk berada di tempat ketiga saringan ketiga dalam acara yang di ungguli pelari Australia, Nathaniel Holder Reece, 45.75s diikuti pelari Jepun, Kenki Imaizumi yang mencatat 46.01s di tempat kedua.

Selain Reece dan Imaizumi, Umar dijadual berentap dengan lima lagi atlet antaranya Naohiro Jinushi (Jepun) yang mencatat 45.90s, Piotr Mateusz Rzezniczak (Poland, 46.11s) dan Bongani Nhlanhla Maseko (Afrika Selatan, 46.26s).

Acara final akan berlangsung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 4:17 PM