UMAR (kanan) ketika beraksi di Universiade Chengdu, China, baru-baru ini.
UMAR (kanan) ketika beraksi di Universiade Chengdu, China, baru-baru ini.
BERNAMA

Johor Bahru: Jaguh Asia Tenggara acara 400 meter (m), Umar Osman kembali meneruskan latihan di Sekolah Sukan Singapura sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia Hangzhou di China, bulan depan.

Pelari berusia 20 tahun dari Johor itu kini menjalani latihan berintensiti tinggi di bawah jurulatih, Simon Lau Chin Meng sejak 13 Ogos lalu, dalam usahanya untuk mencapai sasaran masa di bawah 46.00 saat (s), sekali gus layak ke final acara 400m lelaki.

"Bagi Sukan Asia di Hangzhou, saya perlu berlari bawah 46.00s kerana rata-rata pesaing saya nanti telah mencatat masa larian 45.00s. Jadi, kena pastikan dapat capai sasaran untuk bersaing dan layak ke final serta dapat ranking terbaik di Asia.

"Tugas ini bukan mudah, tetapi saya akan cuba buat yang terbaik dan sentiasa fokus supaya tidak hilang momentum," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, pemegang rekod kebangsaan acara 400m yang dilakukannya di Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China dengan 46.09s itu berkata, beliau perlu memastikan dirinya bebas daripada kecederaan supaya cerdas pada hari pertandingan nanti.

Selain itu, beliau mengakui perlu lebih berhati-hati pada hari pertandingan bagi mengelakkan sebarang kesilapan supaya tidak terkeluar daripada saingan.

"Kecederaan adalah musuh utama atlet. Jadi untuk mengelakkan kecederaan ini, fokus utama saya sebelum dapat pecahkan rekod adalah menjaga kesihatan dan berada dalam keadaan terbaik untuk bersaing.

"Saya kena sentiasa berhati-hati walaupun setakat ini tidak pernah lagi mengalaminya (terkeluar daripada saingan)," katanya.

Umar memenangi pingat emas dalam penampilan sulungnya di Sukan Sea Kemboja pada Mei lalu, selain turut memperbaharui rekod kebangsaan 400m dengan 46.34s dan memadam rekod milik Mohd Zaiful Zainal Abidin (46.41s) yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Asia Junior di Brunei pada 2001.

Beliau sekali lagi mencipta sensasi tersendiri dengan memecahkan rekod kebangsaan miliknya pada Universiade Chengdu, China baru-baru ini, dengan catatan masa 46.33s pada peringkat saringan dan 46.09 s ketika saingan separuh akhir ketiga, sekali gus layak ke final.

Bagaimanapun, hasratnya untuk menaiki podium tidak kesampaian selepas menamatkan saingan final itu di tempat ketujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 8:48 PM