UMAR tidak menjanjikan akan memecahkan rekod kebangsaan kerana belum mencapai tahap kecergasan terbaik. FOTO ASROL AWANG
UMAR tidak menjanjikan akan memecahkan rekod kebangsaan kerana belum mencapai tahap kecergasan terbaik. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Pelari 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman mensasarkan pingat emas pada Kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) di Surabaya, Indonesia yang dijadualkan bulan depan.

Namun, pelari kelahiran Johor itu tidak menjanjikan akan memecahkan rekod kebangsaan kerana belum mencapai tahap kecergasan terbaik selepas baharu pulih daripada kecederaan.

"Fokus di AUG Surabaya ialah untuk mendapat tempat pertama dan sasaran catatan masa bergantung kepada keadaan semasa kerana belum berada pada tahap terbaik.

"Tetapi saya akan pastikan catatan masa dalam lingkungan 46 saat (s) untuk kekalkan prestasi seperti di Terbuka Malaysia," kata atlet berusia 21 tahun itu.

Untuk rekod, catatan terbaik Umar dalam acara 400m adalah 46.09s yang juga rekod kebangsaan dilakukan di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China pada Ogos tahun lalu.

Pada final 400m Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Sabtu lalu, Umar mencatat masa 46.26s, sekali gus meraih pingat emas dalam acara itu.

Manakala perak diraih atlet Sabah, Muhammad Khalil Helmi (47.60s) dan gangsa, Luqmanul Hakim Khairul Akma mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 47.92s).

Umar yang baharu kembali selepas bergelut dengan kecederaan selama tujuh bulan, berkata fokus utama ketika ini lebih kepada memperbaiki teknik larian.

"Saya juga tidak mahu terlalu ghairah mengejar masa, saya bimbang kecederaan berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 2:11 PM