UMAR catat  46.41 saat acara 400m akhir sebentar tadi.
UMAR catat 46.41 saat acara 400m akhir sebentar tadi.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh olahraga negara Umar Osman meminta maaf kerana tidak dapat menghadiahkan pingat untuk Malaysia pada aksi final 400 meter (m) Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China, sebentar tadi.

Pelari berusia 20 tahun itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh daripada lapan peserta akhir dalam saingan berlangsung di Stadium Shuangliu.

Umar berkata, dia tidak menjangka bermula di lorong pertama sekali gus sukar untuk mengekalkan momentum larian bagi memperoleh sekurang-kurangnya pingat gangsa untuk negara.

"Saya tak jangka terpaksa berlari di lorong paling dalam, saya lebih suka di lorong lapan tetapi apa nak buat, terpaksa teruskan juga. Saya minta maaf tak dapat menyumbang pingat, ini pengalaman paling berharga untuk saya," katanya.

Walaupun tidak dapat menghadiahkan pingat untuk negara namun pujian tinggi harus diberikan kepada atlet dari Johor Bahru itu walaupun melintasi garisan penamat dengan catatan masa 46.41 saat (s).

Umar masih konsisten dengan catatan masanya selepas mencipta sensasi memecahkan rekod kebangsaan dua kali berturut-turut sewaktu pusingan pertama, 46.33s dan separuh akhir, 46.09s sebelum ini.

Secara keseluruhan, ia kali ketiga Umar memecahkan rekod kebangsaannya dalam tahun ini sejak kali pertama melakukannya dengan masa 46.34s, memadam rekod lama 46.41s milik Mohd Zaiful Zainal Abidin di Kemboja pada Mei lalu.

Sementara itu, pada aksi 400m final itu menyaksikan pingat emas dimenangi atlet Portugal, Joao Ricardo Agostinho Coelho dengan rekod baharu kejohanan iaitu 44.79s.

Atlet Australia, Reece Nathaniel Holder terpaksa akur meraih pingat perak menerusi penentuan photo-finish, manakala gangsa menjadi milik pelari Romania, Mihai-sorin Dringo dengan masa 46.27s.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 8:25 PM