Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat mengakui mereka sudah memberikan sumbangan dan bantuan bekas atlet Hidayat Hamidon sebelum ini namun tidak menolong sepanjang masa kerana mereka bukan badan kebajikan.

Menurutnya, PABM sendiri tidak mempunyai dana dan bukan persatuan kebajikan, namun menyeru mana-mana bekas atlet supaya mengambil peluang sekiranya Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menawarkan kursus seperti dalam bidang perniagaan.

"Kerajaan sebelum ini ada inisiatif untuk membantu atlet kebangsaan dengan memberi latihan bagi memulakan perniagaan seperti dilakukan Yakeb.

"Bagaimanapun, beliau sejak dari dahulu lagi asyik memberitahu terabai. Sebenarnya kita sendiri (PABM) juga terabai dari pemerhatian pihak kerajaan kerana objektif utama kita untuk memajukan sukan angkat berat. "Sekarang kita juga perlu bangunkan dan mencari dana sendiri, menggunakan duit poket sendiri," katanya.

Ujar Ayub, PABM bukan jabatan kerajaaan namun mereka pernah membantu Hidayat terutama ketika beliau mengalami masalah sakit jantung sebelum ini.

"Tapi kita tidak mampu untuk bantu setiap hari. Ia ikut pada kemampuan kita. Sama juga seperti persatuan sukan lain tidak mampu untuk menjadi seperti jabatan kebajikan. Kita bukan tertakluk kepada itu sahaja (memberikan bantu kepada bekas atlet).

"Bagaimanapun, kita selalu memberitahu atlet, bila berjaya dapat kejayaan perlu fikirkan mengenai masa depan. Duit kemenangan adalah untuk masa depan kerana atlet tidak ada pencen," katanya.

Tambah Ayub, sekarang ini mereka sedang mendidik anak Hidayat, Erry untuk berjaya pada masa akan datang seterusnya dapat membantu keluarga.

"Apa yang penting kejayaan dalam sukan sepatutnya ditumpukan dengan memikirkan mengenai masa depan. Kita sendiri (PABM) sendiri sebenarnya tidak mampu kalau sikit-sikit untuk membantu atlet yang sakit meninggal dunia memang kita ada lakukan," katanya.

Hidayat yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998 kini bekerja sebagai jurulatih separuh masa dan pemandu e-haling selepas disahkan menghidap sakit jantung tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 4:29 PM
HIDAYAT menerima sumbangan daripada  Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (empat dari kanan).
HIDAYAT menerima sumbangan daripada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (empat dari kanan).