PRESIDEN PABM, Datuk Ayub Rahmat. FOTO NSTP
PRESIDEN PABM, Datuk Ayub Rahmat. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persiapan menjelang Sukan Komanwel Birmingham tahun depan bakal bermula buat atlet angkat berat lelaki negara apabila akan menyertai Kejuaraan Dunia IWF yang akan berlangsung di Tashkent, Uzbekistan dari 5 hingga 17 Disember ini.

Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan menilai kemampuan Muhammad Aniq Kasdan, Muhamad Aznil Bidin dan Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat di kejohanan berkenaan sebelum mengatur strategi bagi temasya Komanwel 2022.

Menurut Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, mereka sekarang ini mempunyai pasukan 'ad hoc' sebelum membentuk pasukan kebangsaan bermula 1 Januari 2022.

"Tujuan dan fokus utama pasukan ini adalah Sukan Komanwel. Kita harapkan dengan penyertaan atlet ke Uzbekistan ini, kita mampu melihat sejauh mana kemampuan mereka dan ranking yang boleh mereka dapatkan.

"Ini bagi membolehkan kita meneliti dengan lebih terperinci dan mengatur strategi daripada segi kejurulatihan dan sebagainya supaya matlamat kita untuk mencapai emas di Sukan Komanwel tercapai," kata Ayub.

Ketika penampilan di Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, pasukan angkat berat negara meraih dua pingat emas masing-masing dalam acara 56 kilogram (kg) dan 62kg.

Dalam acara 56kg, emas diraih Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad yang sekarang ini terpalit dengan isu doping manakala Aznil merangkul emas bagi acara 62kg.

Azroy dan seorang lagi atlet, Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari didapati positif bahan terlarang anabolic steroid dalam satu ujian yang berlangsung Mei lalu.

Keputusan daripada sesi pendengaran dilakukan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) sebelum ini dijadual diumumkan bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 1:50 PM