Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyambut baik keputusan Jawatankuasa Road To Gold (RTG) memillih Mohamad Aniq Kasdan untuk berada dalam program itu sekali gus akan memberikan kelebihan kepada dia untuk sentiasa meningkatkan prestasi semasa agar layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, kedudukan ranking dunia angkat berat itu sentiasa berubah dan disebabkan itu, kemasukan Aniq ke dalam program berkenaan akan membolehkan dia mendapatkan keperluan sukan bagi meningkatkan lagi kedudukan yang lebih baik.

Tambah Ayub, PABM menyasarkan atlet berusia 21 tahun itu berupaya untuk mengangkat bebanan 300 kilogram (kg), keseluruhan dalam disiplin Snatch dan Clean & Jerk di Kejohanan IWF Grandprix 2, Qatar.

"Berbaki lagi tiga kejohanan kelayakan Olimpik iaitu di Kejohanan IWF Grandprix 2 (4-14 Disember 2023), Qatar, Kejohanan Angkat Berat Asia di Uzbekistan (3-10 Februari 2024) dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand (2-12 April 2024), di mana kejohanan ini akan menentukan ranking atlet angkat berat.

"Selain Aniq, seorang lagi atlet negara, Muhamad Aznil Bidin akan terus bersaing untuk mendapatkan kedudukan terbaik dalam kejohanan tersebut,"katanya.

Semalam, Aniq antara muka baharu dipilih untuk berada dalam program RTG selepas dia berada kedudukan ke-10 dalam ranking Olimpik dan itu menepati kriteria untuk berada dalam program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 2:04 PM