Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan memutuskan mengenai pembentukan skuad kebangsaan yang baharu bagi menghadapi Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Sea Hanoi.

Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat berkata, keputusan akan dibuat pada mesyuarat jawatankuasa kerja bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) yang diadakan Jumaat ini manakala perincian mengenai perkara itu akan diumumkan bulan depan.

"Seperti yang kita tahu, pasukan kebangsaan sudah dibubarkan, pasukan ke Uzbekistan ini adalah ad hoc yang ditubuhkan pada September. Insya Allah kita ada sasaran sekurang-kurangnya empat orang atlet akan bertanding di Komanwel, dengan harapan mencipta kejayaan," katanya.

Pada September lalu, PABM dan MSN bersetuju untuk membubarkan pasukan kebangsaan berikutan kes doping membabitkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuar.

Keputusan itu menyaksikan kesemua empat jurulatih dan 13 atlet diberikan notis penamatan kontrak berkuat kuasa 1 November.

Mengulas mengenai prestasi cemerlang ditampilkan badang negara di kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel 2022 di Tashkent, Uzbekistan baru-baru ini, Ayub berkata PABM amat berpuas hati dengan pencapaian mereka.

Usaha PABM menubuhkan pasukan ad hoc membuahkan hasil apabila Muhamad Aznil Bidin (61kg) dan Mohamad Aniq Kasdan (55kg) berjaya menempah slot ke Komanwel dijadual pada Julai tahun depan selaku pemenang pingat emas kejohanan kelayakan yang diadakan bersama Kejohanan Dunia.

Seorang lagi badang negara, Muhammad Erry Hidayat (73kg) yang membawa pulang perak, masih menanti pengesahan mengenai kelayakan ke Birmingham 2022.

Ayub sebelum ini berkata atlet kebangsaan yang belum melayakkan diri ke Birmingham, dijangka menyertai Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel di Singapura tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 9:47 PM