ERRY Hidayat turut terpilih tersenarai dalam skuad kebangsaan. -FOTO NSTP
ERRY Hidayat turut terpilih tersenarai dalam skuad kebangsaan. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Seramai enam atlet disenaraikan dalam pembentukan pasukan angkat berat kebangsaan yang baharu dengan misi memburu pingat di Sukan SEA Vietnam dan Sukan Komanwel Birmingham, tahun depan.

Menurut Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, berkata enam atlet berkenaan ialah Mohamad Aniq Kasdan yang beraksi dalam kategori 55 kilogram (kg), Muhamad Aznil Bidin (61kg), Muhammad Erry Hidayat (73kg), Mohd Nasir Roslan (81kg), Muhammad Hafiz Shamsuddin (109+) dan Elly Cassendre Engelbert (55kg wanita).

"Pembentukan pasukan baharu itu dipersetujui Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu mesyuarat yang diadakan bersama pada Ahad lalu. Seorang lagi atlet wanita akan dipanggil menyertai pasukan ini selepas mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari Institut Sukan Negara (ISN) berikutan kecederaan yang dialami. Pembentukan ini akan berkuatkuasa pada 3 Januari 2022," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ujar Ayub, skuad yang dibentuk ini adalah bertujuan membantu negara mendapatkan pingat pada Sukan SEA 2022 di Vietnam dan Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

"Pada kesempatan ini, saya mengharapkan agar semua atlet yang dipilih ini dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang serta mampu mengharumkan nama negara," katanya.

Dalam kenyataan itu juga, beliau memberitahu dua jurulatih sudah dinamakan untuk membantu pasukan dengan seorang jurulatih antarabangsa dan seorang lagi tempatan.

"Nama jurulatih berkenaan akan dimaklumkan sedikit masa lagi," kata Ayub.

Sementara itu, Ayub, berkata pihaknya mengambil maklum keputusan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) yang menggantung dua atlet kebangsaan, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari selama empat tahun bemula 16 Julai lalu berikutan kes doping.

Beliau, berkata PABM memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada Adamas untuk menguruskan kes berkenaan dan bertindak sebagai pemerhati dalam pengendalian proses itu.

Bagaimanapun, kedua-dua atlet berkenaan mempunyai masa 21 hari daripada tarikh surat pemakluman untuk membuat rayuan secara bertulis.

Isu doping melanda dua atlet itu menyaksikan PABM dan MSN bersetuju membubarkan skuad sedia ada yang menyaksikan kesemua empat jurulatih dan 13 atlet terlibat diberikan notis penamatan kontrak berkuat kuasa 1 Nov lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 2:08 PM